Oleh Suyuthi Yusuf
10 November 2022, 17:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara telah mengadakan program Syarahan Perdana Budaya yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan pada pagi tadi. Program tersebut diadakan di Dewan Sanggar Pujangga, MOTAC. Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dr. Hazami Jahari telah bertindak sebagai moderator bagi sesi syarahan tersebut.

Penganjuran program tersebut merupakan kesinambungan Siri Syarahan Perdana Budaya yang telah diadakan sejak pada tahun 2011, 2012, 2013, 2015, 2016 dan 2019. Siri syarahan ini diadakan bertujuan untuk mewujudkan satu jaringan perkongsian ilmu dengan pandangan, cadangan dan saranan ke arah pembinaan negara bangsa yang berbudaya luhur, memupuk semangat jati diri selari dengan tahap kemajuan dan pembangunan negara.

Antara tokoh yang pernah menyampaikan syarahan ini ialah DYMM Paduka Seri Sultan Dr. Nazrin Muizuddin Shah, YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad, YBhg. Tan Sri Razali Ismail, YB Tuan Khairy Jamaluddin, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, dan YBhg. Dato’ Dr. Afifi al-Akiti.

Syarahan yang disampaikan oleh YBhg. Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan pada siri ketujuh ini bertajuk “Satu Tinjauan Sudut Pandang Amalan Budaya Tinggi: Akhlak dan Adab Masyarakat Majmuk di Malaysia”. Dalam syarahan tersebut, beliau menyentuh pelbagai aspek yang berkaitan dengan kesantunan berbahasa melibatkan bahasa etnik-etnik utama di Malaysia.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan sedang menyampaikan syarahannya.

Dalam permulaan syarahannya, beliau menyatakan bahawa kajian pembentangannya melibatkan unsur kesantunan bahasa etnik utama yang meliputi etnik Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan Dusun, manakala kesantunan Melayu dijadikan asas dalam perbandingan bahasa etnik tersebut. Ujarnya,

Kesan langsung bahasa dalam pembangunan sesuatu tamadun barangkali tidak tampak secara nyata sebagaimana tampaknya pembangunan fizikal, namun dampaknya berkaitan dengan kestabilan sosial, politik, pendidikan dan sahsiah anggota masyarakat dan warganegara.

Selain itu, beliau juga turut menjelaskan tentang unsur kesantunan berbahasa yang penting dan diwarisi seperti penggunaan kata ganti nama diri, gelar, panggilan hormat dan bentuk bahasa yang rasmi dalam pentadbiran, undang-undang, pendidikan dan majlis serta upacara rasmi. Menurutnya, penggunaan gelar, sapaan dan kata ganti nama diri merupakan perkara yang tidak diendahkan dan dipedulikan pada masa sekarang. Oleh itu, beliau menyarankan agar pengetahuan sosial berkaitan dengan hal tersebut perlu diamalkan secara tepat dan bersesuaian dengan konteks keadaan dalam hubungan berkomunikasi tersebut.

Seterusnya, beliau juga menjelaskan tentang sistem sapaan dan ungkapan fatis dalam kesantunan berbahasa antara etnik. Ungkapan fatis merujuk bentuk basa-basi, iaitu bentuk bahasa yang sekadar memelihara hubungan sosial. Dalam konteks bahasa Melayu, ungkapan fatis tersebut lebih kepada bentuk ucapan yang mewakili situasi atau keadaan tertentu seperti ucapan selamat dan terima kasih. Katanya,

Aspek kesantunan bahasa yang terdapat dalam kesemua bahasa etnik utama ini adalah untuk memenuhi kenyataan bahawa semua bahasa manusia mementingkan aspek kesantunan dalam perilaku kebahasaan.

Beliau menutup syarahan tersebut dengan menyatakan bahawa konsep perbandingan kesantunan bahasa ini dijadikan rujukan dan diajar dalam pelbagai program perpaduan di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi. Selain itu, MOTAC juga boleh menjadikan dapatan perbandingan kesantunan bahasa ini sebagai kriteria pelancongan, warisan dan budaya negara bagi melestarikan warisan budaya negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.