Oleh Lutfi Zahid
10 Januari 2023, 18:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Usaha untuk memperkasakan program perpaduan negara harus menjadi agenda utama dalam mewujudkan keseimbangan kehidupan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara menyarankan agar kementeriannya dapat menghasilkan model seumpama aktiviti “MAIPs Peduli” yang dijalankan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk diperluaskan pelaksanaan di tempat yang lain dalam negara ini.

“Mungkin kita dapat selitkan inti pati aktiviti seperti ini dalam program perpaduan yang sedang dirancang dan akan dilaksanakan untuk tahun ini. Sebagai misalnya, kita mengadakan minggu perpaduan yang melibatkan aktiviti melawat kawasan yang terdiri daripada populasi pelbagai agama dan kaum. Usaha menarik seperti ini dijangka dapat memupuk kesepaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat kita yang berbilang bangsa, kaum dan agama,” katanya.

Demikian sebahagian ucapan beliau selepas mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis dalam program MAIPs Peduli pada petang semalam.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis berkenan menyampaikan sumbangan kepada setiap asnaf yang hadir pada program pemeriksaan kesihatan asnaf di Kangar.

Terdahulu, beliau turut mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra hadir dalam program pemeriksaan kesihatan asnaf oleh MAIPs dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri di Masjid Al-Ariffin Padang Katong, Kangar yang melibatkan seramai 50 orang peserta dari kariah masjid tersebut dan 70 orang dari kariah Masjid Al-Istiqamah Kg Teluk Jambu.

Selepas menjalankan pemeriksaan kesihatan, setiap asnaf yang hadir berpeluang mendengar ceramah kesihatan daripada pegawai Jabatan Kesihatan Negeri sebelum menerima sumbangan MAIPs daripada Tuanku Raja Muda Perlis merangkap Yang DiPertua Majlis bernilai RM700 setiap seorang dengan jumlah penuh sebanyak RM84 ribu pada sesi kali ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.