Oleh Lutfi Zahid
11 Januari 2023, 18:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Raja Perlis bertitah menasihati agar mana-mana pihak tidak lagi mencurahkan minyak ke dalam api, terutamanya apabila bangkitnya sebarang isu perkauman yang mampu meruntuhkan semangat perpaduan dalam negara ini.

Baginda turut berkongsi pengalaman peribadi ketika berkhidmat sebagai seorang Pegawai Tentera dahulu apabila ditugaskan dalam Kor Peninjau DiRaja (kini dikenali sebagai Kor Armor DiRaja) ketika negara pada waktu itu bergelut dengan ancaman komunis, konfrontasi dengan Indonesia dan peristiwa 13 Mei 1969. Pada waktu itu, setiap anggota dalam Kor tersebut merupakan campuran pelbagai bangsa serta agama dan mempunyai semangat perpaduan yang amat tinggi untuk bersatu padu, bukan sahaja dalam melaksanakan tugasan, malah saling membantu antara satu sama dengan yang lain setiap masa walaupun di luar tugasan hakiki.

Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan menerima sembah mengadap hormat oleh Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara di Istana Arau, Perlis.

Demikian titah Tuanku Syed Sirajuddin ketika berkenan menerima sembah mengadap hormat oleh Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara,di Balai Menghadap Biru Istana Arau. Berangkat sama ialah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis. Turut hadir ialah Datuk Indera Noridah Abdul Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, dan Datuk Kamarul Bahrin A. Kassim, Ketua Pengarah Muzium Malaysia.

Tuanku Syed Sirajuddin turut menasihatkan semua pihak tidak kira asal usul, latar belakang dan status tertentu haruslah sentiasa berusaha untuk saling memahami antara satu sama dengan yang lain dan  mengenali latar belakang semua kaum bagi menyemai semangat perpaduan yang tinggi untuk lebih bertoleransi.

Tuanku Raja Perlis juga berkongsi kata-kata Presiden Itali kepada baginda ketika baginda menjadi  Yang Di-Pertuan Agong dahulu, di mana Presiden Itali sendiri memaklumkan pada baginda bahawa mereka amat kagum dengan semangat perpaduan yang tinggi di Malaysia yang meliputi pelbagai kaum dan agama boleh menjalani kehidupan harmoni  dan turut melihat negara Malaysia menjadi satu contoh model yang baik sebagai “Mini United Nations“.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.