17 Januari 2023, 15:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ponggal merupakan suatu perayaan purba masyarakat India yang disambut sejak zaman Sangam (tempoh sejarah purba Tamil Nadu, Kerala dan bahagian Sri Lanka yang pada masa itu dikenali sebagai Tamilagam yang merangkumi abad ke-6 Sebelum Masihi hingga abad ke-3 Masihi). Menurut pandangan beberapa ahli sejarah, Ponggal disambut sebagai “Thai Neeraadal” semasa zaman Sangam dan terdapat beberapa kepercayaan di sebalik perayaan Ponggal yang mendapat nama julukan sebagai “Thai Neeradal”.

Ahli keluarga berkumpul di sekitar periuk dan melaungkan ucapan “Ponggalo Ponggal” sebanyak tiga kali sewaktu memasak makanan Ponggal.

Pada zaman Sangam, iaitu sewaktu bulan Thai, beberapa amalan berdoa yang khusus akan dilakukan oleh masyarakat India. Antaranya termasuklah anak dara mendoakan supaya mendapat suami yang soleh serta isteri mendoakan agar suami mereka dikurniakan umur yang panjang dan kehidupan yang baik. Berdasarkan doa-doa tersebut, mereka akan bangun pada awal pagi, mandi dan berpuasa. Oleh sebab itu, Ponggal dipanggil atau digelar sebagai “Thai Neeradal“. Secara keseluruhannya, istilah “Thai” menggambarkan bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil, manakala istilah “Neeradal” pula bermaksud mandi.

Bulan Margazhi pula merujuk kepada bulan kesembilan dalam kalendar Tamil dan bulan Thai merupakan musim sejuk berdasarkan kalendar Tamil. Menurut kepercayaan masyarakat India pada zaman dahulu, mandi dalam air sejuk yang membeku dalam bulan Margazhi dan bulan Thai adalah suatu pengalaman yang indah dan dipercayai bahawa dengan berbuat demikian, mereka akan berasa seolah-olah sedang melakukan amal taubat selaras dengan alam.

Di samping itu, satu daripada kepercayaan dalam masyarakat India juga ialah seseorang yang mengamalkan “Thai Neeradal“ yang juga dikenali sebagai Paavai Nonbu (bermaksud puasa orang perempuan) akan mendapat jodoh suami yang ideal menepati ciri-ciri yang diidam-idamkan.

Ponggal dalam bahasa Melayu bererti melimpah-ruah yang merujuk kepada susu lembu yang melimpah apabila dipanaskan dalam periuk belanga tanah liat yang melambangkan kekayaan yang melimpah-ruah.

Selain itu, sejarah kemunculan istilah “Thai Neeradal” turut berkait rapat dengan banyak cerita dalam kesusasteraan Sangha. Antaranya termasuklah kisah tentang wanita-wanita muda yang membuat patung berupa wanita yang cantik di atas pasir dan bermain dengan kalungan bunga pada patung tersebut. Mereka bermain di tempat-tempat berpasir dan di tebing sungai serta turut memandikan patung tersebut semasa mereka sedang mandi.

Ponggal merupakan suatu perayaan masyarakat India yang melambangkan tanda kesyukuran kepada Dewa Matahari (Suryabhagawan) yang memberkati sepanjang proses pertanian padi. Perayaan Ponggal disambut oleh semua masyarakat India di seluruh dunia pada awal bulan Thai dan kebiasaannya jatuh pada tanggal 14 Januari setiap tahun. Pada asasnya, Ponggal merupakan perayaan menuai dan satu-satunya perayaan yang mengikuti kalendar Suria. Secara tradisinya, masyarakat India mengikuti kalendar Suria sebagai kalendar utama mereka.

Sehubungan dengan itu, perayaan Ponggal menandakan pergerakan matahari ke arah utara untuk tempoh enam bulan sebelum memasuki fasa zodiak Capricorn (Magaram). Keadaan tersebut dipercayai mendatangkan tuah kepada manusia berbanding dengan pergerakan matahari ke arah selatan. Perayaan Ponggal di India disambut di Tamil Nadu, Karnataka, Kerala, Andhra Pradesh dan Telangana, manakala negara lain yang turut meraikan perayaan Ponggal termasuklah Sri Lanka, Singapura, Amerika Syarikat, Malaysia dan sebagainya.

Ponggal dalam bahasa Melayu bererti melimpah-ruah yang merujuk kepada susu lembu yang melimpah apabila dipanaskan dalam periuk belanga tanah liat yang melambangkan kekayaan yang melimpah ruah. Perayaan Ponggal yang dijulang sebagai hari petani disambut selama empat hari bermula dengan sambutan Bhogi dan diikuti oleh Thai Ponggal, Maatu Ponggal dan seterusnya Kaanum Ponggal.

Pertandingan Uri Adithal (pertandingan seseorang ditutup matanya dan perlu memecahkan periuk belanga dengan kayu panjang) bersempena perayaan Ponggal.

Perayaan Bhogi disambut pada hari terakhir bulan Margazhi, iaitu hari pertama perayaan Ponggal. Secara turun-temurun, perayaan Bhogi disambut pada awal pagi sebelum matahari terbit. Perayaan Bhogi merupakan adat dan tradisi mengeluarkan yang lama dan mendatangkan yang baharu seperti amalan membuang atau membakar barang-barang lama yang tidak berguna semasa sambutan Bhogi. Selain itu, perayaan Bhogi juga bertujuan untuk membuang niat yang negatif dan jahat dalam fikiran dan hati manusia.

Thai Ponggal disambut pada hari pertama bulan Thai. Ucapan “Thai Pirandhal Vazhi Pirakkum“ yang bererti “permulaan Thai membuka peluang baharu“ sering diucapkan dan berkait rapat dengan perayaan hari Thai Ponggal. Bagi meraikan hari pertama perayaan ini, masyarakat India membeli periuk belanga tanah liat yang baharu dan mengikat kunyit segar pada periuk tersebut di samping menghiaskan halaman rumah dengan Kolam yang berwarna-warni.

Rentetan itu, masyarakat India dan keluarga dengan berpakaian serba baharu akan meletakkan dapur kayu api baharu di halaman rumah dan beras baharu dimasukkan ke dalam periuk tersebut untuk menghasilkan makanan yang bernama “Ponggal”. Apabila susu mendidih dan melimpah keluar, ahli keluarga akan berkumpul di sekitar periuk dan melaungkan ucapan “Ponggalo Ponggal” sebanyak tiga kali diikuti nasi dan gula dimasukkan ke dalam periuk tersebut. Ponggal yang telah siap dimasak akan dipersembahkan kepada Dewa Matahari (Surya) sebelum menjamu selera.

Selepas hari Thai Ponggal merupakan hari Maatu Ponggal yang juga dikenali sebagai Patti Ponggal atau Kanru Ponggal. Perayaan ini disambut untuk berterima kasih kepada ternakan lembu yang membantu dalam proses pertanian padi dan juga memberi susu untuk keperluan manusia. Pada hari Maatu Ponggal, kandang lembu dibersihkan, lembu dimandikan dan tanduknya diwarnakan, kalung bunga dikalungkan pada leher lembu serta lembu tersebut disembah di samping Ponggal dibuat di kandang lembu.

Maatu Ponggal mempunyai sejarah yang menakjubkan selain menjadi hari istimewa dalam bulan Thai. Berdasarkan Purana yang merupakan kesusasteraan Hindu, Dewa Shiva pernah menurunkan lembu jantannya, iaitu Basava ke bumi dan menyuruhnya menyampaikan pesanan kepada rakyat jelata supaya makan hanya sebulan sekali dan mandi minyak pada setiap hari.

Pada hari Maatu Ponggal, kandang lembu dibersihkan, lembu dimandikan dan tanduknya diwarnakan, kalung bunga dikalungkan kepada leher lembu serta lembu tersebut disembah di samping Ponggal dibuat di kandang lembu.

Walau bagaimanapun, Basava tersilap mengisytiharkan bahawa setiap orang perlu mandi minyak hanya sebulan sekali dan makan pada setiap hari. Dewa Shiva yang menjadi murka dengan sikap cuai Basava menyumpahnya untuk hidup selama-lamanya di bumi. Basava yang menetap di bumi ditugaskan untuk membantu orang ramai menghasilkan lebih banyak makanan dan hal tersebut menjadikan lembu masih digunakan untuk pertanian hingga kini.

Hari ketiga Ponggal pula digelar sebagai Kanni Ponggal atau Kaanum Ponggal. Kanni merujuk kepada “gadis dara” dan sambutan Kanni Ponggal melambangkan kesuburan. Di beberapa bahagian luar bandar dan kampung, para petani berdoa kepada Saptha Kannimaar (tujuh dewi dara) dengan kepercayaan bahawa mereka akan memberkati tanah pertanian menjadi subur.

Rentetan kepercayaan itu, gadis-gadis dara yang belum berkahwin diberi penghormatan sebagai Saptha Kannimaar pada hari tersebut dan akan dihadiahkan pakaian dan perhiasan. Mereka akan dilayan seperti puteri pada hari Kanni Ponggal dan hal ini juga membuka peluang kepada keluarga untuk mencari bakal suami yang terbaik untuk perempuan tersebut. Manakala anak dara pula akan berdoa pada hari Kanni Ponggal agar mendapat suami yang soleh. Seiring dengan perubahan zaman, Kanni Ponggal berubah menjadi Kaanum Ponggal, iaitu kaum India melawat saudara-mara mereka dan berkongsi kasih sayang dan makanan mereka. Kini, Kanni Ponggal masih lagi disambut dan diraikan di beberapa wilayah di India.

Pertandingan memanjat pokok bersempena perayaan Ponggal.

Di India, banyak pertandingan diadakan bersempena hari perayaan Ponggal seperti pertandingan melukis Kolam, uri adithal (pertandingan seseorang ditutup matanya dan perlu memecahkan periuk belanga dengan kayu panjang), pertandingan memanjat pokok dan lain-lain lagi. Secara keseluruhannya, tujuan dan matlamat perayaan Ponggal ialah memberi rehat kepada para pesawah, ternakan dan semua rakyat supaya mereka dapat bergembira serta sebagai peluang untuk gadis dan jejaka untuk bertemu bagi mencari dan memilih pasangan hidup mereka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.