4 Februari 2023, 14:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Forum Peradaban Alam Melayu yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP pada pagi ini.

Forum yang diadakan untuk merungkai dan berkongsikan segala fakta tersembunyi tentang sejarah peradaban alam Melayu dan kehebatan bangsa Melayu pada zaman kuno yang jarang-jarang dikongsikan umum ini menampilkan dua orang sarjana terkemuka, iaitu Pakar Nahu Bahasa Arab dan Falsafah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, YBhg. Profesor Dr. Solehah Yaacob dan Pakar Geologi dan Arkeologi, Universiti Sains Malaysia, YBhg. Datuk Profesor Dr. Mokhtar Saidin serta Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang bertindak sebagai moderator.

Dalam ucapan Pengarah Program Forum Peradaban Alam Melayu, Puan Seri Fatini Yaacob, beliau menyatakan bahawa forum ini diadakan untuk berkongsikan ilmu tentang alam Melayu dan membangkitkan rasa bangga serta penghargaan kepada pengkaji tamadun bangsa Melayu yang mempunyai sumber ilmu yang sangat luas.

Program Forum Peradaban Alam Melayu, Puan Seri Fatini Yaacob turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa yang terlibat dalam Forum Peradaban Alam Melayu.

Selaras dengan moto PEMBELA, iaitu menjunjung agama, memartabatkan bangsa dan mempertahankan negara, maka PEMBELA mengambil inisiatif untuk mengadakan forum ini. Projek ini dirintis melalui pertemuan antara pihak PEMBELA dengan YBrs. Profesor Dr. Solehah Yaacob dan YBhg. Datuk Profesor Dr. Mokhtar Saidin. Berdasarkan lautan ilmu yang dimiliki oleh kedua-dua pengkaji ini, kami mengajak mereka untuk bersama-sama berkongsi tentang sejarah unggul alam Melayu dan hubungannya dengan peradaban dunia lain bagi membolehkan ilmu ini dimanfaatkan oleh anak bangsa Melayu.

Menurut Pengerusi PEMBELA, Tuan Mahmud Hishamuddin Abd Rashid dalam ucapan alu-aluannya, peradaban bagi orang Melayu tidak boleh terpisah dari segala rukun dan prinsip. Oleh sebab itu, cara kita untuk memahami, mentafsir, menggarap dan menghuraikan apa-apa isu berkaitan dengan peradaban Melayu mestilah berada dalam kerangka ilmu.

Pengerusi PEMBELA, Tuan Mahmud Hishamuddin Abd Rashid ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Forum Peradaban Alam Melayu.

Peradaban orang Melayu jangan kita bataskan dengan pencapaian dari segi material semata-mata, tetapi mesti dihubungkaitkan dengan kepentingan pencapaian spiritual. Peradaban bagi orang Melayu juga jangan hanya membawa sejarah, tetapi seharusnya membawa khazanah, pengajaran dan penyuluh jalan agar kita tidak mengulangi kesilapan masa lalu.

Ujarnya lagi, bicara mengenai peradaban Melayu seharusnya melangkaui batasan sejarah dan kepentingan dunia serta merentasi pandangan dunia.

“Biarlah kita berbicara mengenai peradaban orang Melayu yang akan membawa umat ini menjadi pelopor idea bagi kemajuan, pengkritik yang membina, penyelesai masalah dan membuka jalan serta mercu pencapaian yang selari dengan tuntutan zaman dan politik semasa.” ujarnya mengakhiri ucapan.

YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan bersama-sama YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP yang turut hadir dalam Forum Peradaban Alam Melayu di Balai Budaya Tun Syed Nasir, pagi ini.

Forum Peradaban Alam Melayu ini juga diserikan dengan pameran dan jualan buku sejarah serta busana yang diadakan di ruang legar Balai Budaya Tun Syed Nasir.

Tetamu turut berpeluang melawat pameran yang diadakan di ruang legar Balai Budaya Tun Syed Nasir bersempena dengan Forum Peradaban Alam Melayu.

Turut hadir dalam program ini ialah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, dif kehormat, ahli jawatankuasa PEMBELA dan tetamu undangan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!