Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSimpang Ampat – Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis, mencadangkan agar promosi pelancongan negeri Perlis turut diadakanĀ dalam bahasa Thailand bagi menarik minat penduduk negara jiran tersebut dan seterusnya melawati negeri ini.
Pada kesempatan yang sama, baginda menitahkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemilik dan pengusaha lokasi pelancongan, tempat penginapan dan kedai makanan di Perlis yang mempromosikan negeri ini tanpa lelah dan tanpa henti melalui pelbagai medium, terutamanya media sosial.
Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Pesta Angin Timur Perlis 2023 yang berlangsung selama tiga hari di Kampung Sungai Padang pada petang semalam. Berangkat sama Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis dan puteri kedua baginda Sharifah Farah Adriana Jamalullail. Turut hadir Yang Amat Berhormat Tuan Mohd Shukri Ramli, Menteri Besar Perlis, dan Yang Berhormat Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
“Pesta Angin Timur Perlis 2023 berjaya meningkatkan usaha kesedaran serta penyertaan masyarakat dalam seni budaya setempat bagi memartabatkan lagi keunikan program tempatan. Penganjuran program seumpama ini juga diharapkanĀ mampu meningkatkan lagi apresiasi seni budaya kepada segenap lapisan masyarakat ke arah Pembentukan Perpaduan Bangsa Malaysia yang harmoni,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Program tahunan kali ke-11 anjuran Kerajaan Negeri Perlis dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara bersama-sama Majlis Kebudayaan Negeri Perlis ini diyakini dapat mengembalikan nostalgia tradisi kehidupan masyarakat dahulu yang kaya dengan adat dan budaya.