Oleh Lutfi Zahid
16 Mac 2023, 15:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pembukaan Galeri Seni dan Budaya WCO yang memaparkan kepelbagaian seni budaya melalui pembuatan diorama dan miniatur telah dirasmikan oleh Tan Sri Dato’ Sri Utama Dr. Rais Yatim, Yang di-Pertua Dewan Negara, pada pagi tadi. Galeri yang ditubuhkan pada tahun 2015 itu mendapat pengiktirafan oleh The Malaysia Book of Records sebagai pusat kraf tangan diorama silang budaya yang pertama dalam negara.

Dalam ucapan perasmian, Tan Sri Dato’ Sri Utama Dr. Rais Yatim mengagumi semangat pengasas Galeri Seni dan Budaya WCO, iaitu Foo Loke Kee, yang sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang sendiri demi melahirkan sebuah galeri yang sarat dengan maklumat sejarah pelbagai kaum di Tanah Melayu sejak dari zaman sebelum merdeka.

Tan Sri Dato’ Sri Utama Dr. Rais Yatim menerima cenderamata replika rumah tradisional daripada Foo Loke Kee, pengasas Galeri Seni dan Budaya WCO.

“Mencari sesuatu ‘obor’ dalam budaya amat sukar disebabkan oleh pelbagai rintangan yang wujud dalam kehidupan kita. Ramai orang sering menyebut perkataan ‘warisan’, tetapi mereka hanya memaparkan secara zahir. Budayawan yang bersungguh-sungguh untuk meneliti, memahami dan membuat sesuatu dalam arena budaya amat sukar. Oleh sebab itu, apa-apa yang diusahakan oleh Foo Loke Kee ini dapat dijadikan sebagai ‘obor’ baharu dan batu loncatan agihan peranan kepada masyarakat kita,” kata Tan Sri Dato’ Sri Utama Dr. Rais Yatim.

Tetamu kehormat yang hadir Majlis Perasmian Galeri Seni dan Budaya WCO.

Tambah Tan Sri Dato’ Sri Utama Dr. Rais Yatim, beliau banyak bergaul dan mengenali pelbagai lapisan masyarakat, tetapi amat sukar untuk bertemu dengan individu yang sudi menaja dan mengeluarkan wang sendiri dalam mendapatkan hal seni budaya. Maka itu, beliau berharap agar masyarakat dapat bersama-sama mengarahkan pandangan terhadap warisan seni budaya.

Tan Sri Dato’ Sri Utama Dr. Rais Yatim melawat pameran di Galeri Seni dan Budaya WCO.

Galeri Seni dan Budaya WCO yang terletak di Kampung Baru Cina, Cheras, ini menghimpunkan pelbagai koleksi diorama budaya tempatan, seperti rumah tradisional, istana lama, dan miniatur seni budaya masyarakat Melayu, Cina, India serta kaum lain yang terdapat di Sabah dan di Sarawak. Galeri ini mendapat sokongan daripada beberapa agensi kerajaan dan swasta, antaranya termasuklah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian, Seni dan Budaya, dan WCO Holdings Sdn. Bhd.

Hadir sama dalam Majlis Perasmian Galeri Seni dan Budaya WCO ialah Tuan Haji Mesran Mohd Yusop, Penasihat Diplomasi Budaya Galeri Seni dan Budaya WCO, Encik Rosnan Nordin, Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) JKKN, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Encik Zhang Jie Xin, Pengarah Pusat Kebudayaan China Kuala Lumpur.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.