Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSandakan – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan kempen “Promosi Masakan Perlis @ Sandakan, Sabah” di Hotel Elopura, Sandakan, Sabah, baru-baru ini.
Pemilik Hotel Elopura, YBhg. Datuk Haji Mohd Affendi Datuk Haji Hamdan menyambut baik keberangkatan tiba baginda ke program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bersama-sama hotel berkenaan.
Antara juadah popular di negeri Perlis yang disediakan khas untuk majlis berbuka puasa oleh Datuk Zull Aznam Haron dan dibantu oleh pasukan cef daripada Hotel Elopura yang beroperasi di Sandakan Harbour Square pada kali ini termasuklah kurma daging Perlis, gulai tulang dengan rebung dan pekasam ikan timah tasoh.
“Selain menu makanan yang enak itu, terdapat banyak lagi hidangan menarik di Perlis, misalnya laksa Kuala Perlis, pulut mangga harum manis dan pekasam ikan puyu,” titah baginda dalam satu kenyataan daripada YTSP Perlis.
Pada masa yang sama, baginda sangat mengalu-alukan kedatangan orang ramai untuk berkunjung ke negeri Perlis bagi menikmati pelbagai hidangan yang pastinya akan menambat selera para pengunjung yang merasai makanan tersebut.
“Perlis mempunyai banyak lokasi yang menarik untuk dilawati, misalnya Gua Kelam dan Taman Negeri termasuklah Wang Kelian View Point, Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai Kuala Perlis, Empangan Timah Tasoh, Kangar Street Art, Superfruits Valley dan Ladang Kenaf,” titah baginda yang merangkap Pengerusi YTSP Perlis.
Jelas baginda lagi, kesemua lokasi pelancongan di negeri Perlis ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri dan sudah semestinya akan memberikan pengalaman dan kenangan yang tidak ternilai kepada setiap pengunjung yang mengunjungi negeri berkenaan kelak.