5 Mei 2023, 11:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Parlimen Malaysia akan menganjurkan Hari Terbuka Parlimen Malaysia bertemakan “Merakyatkan Parlimen, Warisan Negara” pada 6 dan 7 Mei ini bertempat di Kompleks Parlimen Malaysia bermula dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Sekretariat Hari Terbuka Parlimen Malaysia (Publisiti), Encik Muhamad Zhafry Hakim Abu Khair berkata tema dan konsep ini dipilih pada tahun ini adalah bagi mendekatkan rakyat dan masyarakat dengan Parlimen kerana mereka hanya berpeluang menonton sidang Parlimen secara langsung di kaca televisyen sahaja sebelum ini.

Sekretariat Hari Terbuka Parlimen Malaysia (Publisiti), Encik Muhamad Zhafry Hakim Abu Khair ketika bersiaran dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia bagi mempromosikan Hari Terbuka Parlimen Malaysia yang bakal berlangsung pada hujung minggu ini.

Tambah beliau, program ini juga adalah untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang institusi legislatif negara ini yang terbahagi kepada tiga komponen iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Pada tahun lepas semasa fasa pra-endemik, program ini dilaksanakan dalam skala kecil dengan kehadiran hampir 2,000 pengunjung yang dipilih secara bersasar tetapi pada tahun ini buat julung-julung kalinya program ini dianjurkan secara besar-besaran dengan pelibatan pelbagai kementerian, agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa pihak kedutaan,” jelasnya ketika bersiaran dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) semalam.

Katanya, pelbagai program telah disusun atur sepanjang dua hari program tersebut berlangsung seperti demonstrasi makanan warisan setiap negeri di Malaysia serta makanan warisan kaum Cina India dan orang Asli yang juga sebenarnya merupakan hasrat negarawan negara merangkap Tuan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim.

Selain itu, terdapat juga pelbagai pameran yang boleh dikunjungi oleh para pengunjung seperti pameran negarawan, legislatif, perpaduan dan pelbagai persembahan kesenian, kebudayaan serta pertandingan permainan tradisional.

“Sepanjang dua hari program tersebut, turut diadakan aktiviti seperti jualan makanan, kraftangan, lukisan karikatur selain beberapa siri bicara saku dan yang paling menarik ialah para pengunjung dapat melihat secara lebih dekat ruangan di dalam dewan di Parlimen melalui lawatan berpandu dan mereka juga akan diberikan penerangan lanjut mengenai Parlimen semasa lawatan tersebut” katanya.

Antara aktiviti yang bakal berlangsung sepanjang dua hari penganjuran Hari Terbuka Parlimen pada hujung minggu ini.

Beliau juga berkata tiada kod etika pakaian ditetapkan kepada para pengunjung tetapi diharapkan masyarakat yang hadir boleh mengenakan pakaian yang kemas dan sopan pada hari tersebut.

Ayuh, semua hadir ke program Hari Terbuka Parlimen Malaysia hujung minggu ini untuk mengenali dan mengetahui dengan lebih dekat lagi institusi legislatif negara ini!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.