16 Mei 2023, 18:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Farid Kamil, pelakon filem “pecah panggung” pada tahun 2017, Tombiruo: Penunggu Rimba, dan yang terbaharu Sumpahan Syaitan, menegaskan sesiapa yang mahu memegang watak Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam filem atau karya lain mestilah membenci dan memerangi rasuah!

Walaupun sikap sedemikian amat sesuai dan melayakkan Farid memegang watak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk filem Anwar: The Untold Story (ATUS), tetapi beliau bukanlah satu-satunya pelakon yang dipilih. Sebelum beliau, beberapa orang pelakon dari Malaysia dan luar negara telah menolak tawaran berlakon sebagai Anwar Ibrahim kerana bimbangkan risiko bakal dihadapi.

Filem Anwar: The Untold Story akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula pada 18 Mei 2023.

Selain Farid dan Hasnul Rahmat dari Malaysia, ATUS turut dibintangi pelakon dan penyanyi terkenal Indonesia, Acha Septriasa sebagai Dr. Wan Azizah Wan Ismail, iaitu isteri Anwar, serta Saskia Chadwick, Piet Pagau, Dewi Irawan dan ramai lagi. Hasnul memegang watak Perdana Menteri keempat, Dr. Mahathir Mohamad (semasa zaman cerita filem ini ialah Datuk Seri).

ATUS yang menelan biaya RM10 juta, dan akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula pada 18 Mei nanti, bakal memberikan anjakan paradigma, serta menjadi satu penanda aras baharu untuk industri perfileman tanah air.

Menjalani penggambaran di Indonesia dan Malaysia dengan gabungan dua negara serumpun, termasuk kehadiran gabungan pelakon terkenal, serta pasukan penerbitan menjanjikan ATUS mampu menarik semua lapisan masyarakat menontonnya di pawagam.

Oleh kerana pelancarannya pada 1 Mac lalu yang juga beberapa bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dan penubuhan Kerajaan Perpaduan, ramai yang menganggap ATUS dihasilkan selepas itu, dan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Namun demikian, Penerbit Eksekutif ATUS, Zunar atau nama sebenarnya, Zulkiflee Anwar Haq, tampil memberikan penjelasan.

“Sebenarnya, filem ini dihasilkan sebelum PRU15, dan tidak mengambil kira kerajaan mana yang memerintah. Begitu pun, pelbagai kesukaran dihadapi, termasuk kebimbangan mengenai soal tayangan kalau bukan Pakatan Harapan yang memerintah, dan Anwar tidak menjadi Perdana Menteri,” jelas Zunar, yang juga kartunis tersohor sejak 1990-an.

ATUS yang berdurasi 108 minit membawa kisah jatuh bangun perjuangan Anwar dalam politik Malaysia, terutama melawan rasuah. Filem yang diusahakan (penulisan skrip) sejak Ogos 2011 ini telah bersedia untuk ditayangkan.

Latar waktu cerita ialah dari 1993 hingga 1998, iaitu ketika Anwar mula menjawat jawatan Menteri Kewangan sehingga dipecat pada 2 September (1998).

Antara babak ikonik dalam filem Anwar: The Untold Story.

Diadaptasi  dan diolah daripada kisah benar, jalur ceritanya adalah mengenai sikap Anwar yang tegas, dan konsisten menolak pelbagai jenis imbuhan, dan wang tunai daripada pihak tertentu.

Selain itu, memaparkan bagaimana beliau enggan menggunakan wang rakyat untuk “menyelamatkan” syarikat anak pemimpin tertentu yang kerugian berbilion ringgit. Oleh kerana itu, beliau difitnah dengan satu konspirasi besar, dipecat, dipukul dengan ganas di lokap, dan dibiarkan tanpa rawatan perubatan selama beberapa hari.

Pengarah ATUS, Viva Westi, tidak dapat menyembunyikan rasa terharunya dengan penerbitan filem ini. Katanya, doa dan air mata telah mengiringi kerja-kerja pembikinan ATUS.

“Saya masih mengingati pesanan Zunar yang keras-lucu, iaitu saya boleh sakit, tetapi jangan mati selagi filem ini belum disiapkan. Saya dan suami juga kerap berbalah kerana kedegilan saya untuk menyiapkan filem ini,” cerita Viva.

Acha pula menyatakan rasa teruja dapat membintangi ATUS, selain terharu dengan layanan dan sifat keibuan Dr. Wan Azizah terhadapnya ketika kali pertama bertemu. Dia yang juga penyanyi lagu terkenal Berdua Lebih Baik, turut gembira dapat belajar bertutur dalam bahasa Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.