16 Mei 2023, 17:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Revolution Stage kembali dengan cara penceritaan yang berbeza dalam pementasan terbaharu mereka, Teater Bangsawan Indie Puteri Gunung Ledang: Sakti Siti Djamilah. Terinspirasi dengan konsep sufisme, skrip karya Khairunazwan Rodzy ini akan membawa pengalaman dan pengetahuan yang baharu kepada penonton.

Teater Bangsawan Indie Puteri Gunung Ledang: Sakti Siti Djamilah akan dipentaskan bermula dari 17 hingga 28 Mei 2023.

Menurut Khairunazwan, yang berganding sebagai pengarah bersama teater ini dengan Rahim Jo, beliau memilih jalan cerita ini kerana ingin masyarakat lebih mengenali Puteri Gunung Ledang, atau nama Islamnya, Siti Djamilah, dari sudut yang berbeza daripada penceritaan yang sering didengari dan didendangkan.

“Saya merasakan ia adalah salah satu sudut penceritaan yang masih ramai belum tahu. Walaupun kita tahu kisah Puteri Gunung Ledang memang terkenal, tetapi penceritaan dan skrip yang saya cuba sampaikan akan membawa satu pengalaman dan pengetahuan yang baharu kepada setiap penonton,” jelas Khairunazwan.

Melalui fokus penceritaan kepada kisah rombongan Sultan Mahmud dan latar belakang keperibadian Puteri Gunung Ledang yang lebih dalam, Revolution Stage memberikan interpretasi segar terhadap legenda Puteri Gunung Ledang.

Tidak hanya menerapkan tafsiran yang tersendiri, pementasan ini juga disebut oleh wakil pihak produksi, Revolution Stage, akan memberikan pengalaman teater yang berbeza. Teater Bangsawan Indie Puteri Gunung Ledang: Sakti Siti Djamilah ialah satu usaha untuk mempopularkan konsep teater bangsawan indie di Malaysia. Pementasan ini adalah inisiatif susulan selepas kejayaan pementasan Teater Bangsawan Indie: Raja Bersiong pada Anugerah Teater Malaysia tahun lepas yang merangkul 3 piala dalam anugerah tersebut.

Menjelang pementasan pada 17 hingga 28 Mei 2023 ini, lebih daripada 15 pelakon muda dan berpengalaman seperti Aloeng Silalahi, Kyra Sabri, Jasni Fizul, Saiful Wazien, Fattah Fawzy dan ramai lagi akan tampil sebagai pelakon di pentas Revolution Stage, Petaling Jaya.

Revolution Stage bukan sahaja merupakan sebuah produksi teater, tetapi juga merupakan pusat pembelajaran teater yang utama di Kuala Lumpur. Dengan menerima Insentif Seni (Kewangan) daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan juga The BOH Cameronian Grants for New Productions 2022 dari Kakiseni, Teater Bangsawan Indie Puteri Gunung Ledang: Sakti Siti Djamilah menandakan impak dan kesungguhan Revolution Stage dalam dunia teater Malaysia.

Bagi mereka yang tidak berada di Lembah Klang, pementasan akan turut dipertontonkan secara dalam talian dan boleh dibeli dengan harga yang berbeza. Para penggemar teater dijemput untuk menyaksikan Teater Bangsawan Indie Puteri Gunung Ledang: Sakti Siti Djamilah dan boleh mendapatkan tiket di www.revolutionstage.com.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.