Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan Sekarang
London – Minggu Kraf London 2023 anjuran Yayasan Tenun Pahang Diraja di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertemakan Abstrak Alam Semula Jadi mempamerkan landskap budaya Malaysia yang kaya melalui tradisi krafnya yang luar biasa.
Pameran edisi kedua ini berlangsung dari 6 Mei hingga 14 Mei diadakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, London menonjolkan kemahiran kraf yang berakar umbi dalam masyarakat orang asli di negara kita iaitu orang asli Semelai dari Pahang, Mah Meri dari Selangor dan pelbagai etnik dari Sabah dan Sarawak.
Program ini merupakan inisiatif KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang bertujuan mempromosikan produk kraf warisan daripada usahawan kraf Malaysia seperti produk kraf tradisional orang Melayu, orang asli serta etnik Sabah dan Sarawak ke peringkat antarabangsa.
Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang diadakan semasa minggu kraf tersebut termasuklah pameran, demonstrasi, bengkel, lawatan berpandu dan jualan dalam talian. Sebanyak 200 produk kraf Malaysia dipamerkan sebagai platform untuk mempromosikan dan membantu usahawan kraf tempatan memasarkan hasil produk mereka ke persada antarabangsa.
Lebih menarik pada edisi kali ini apabila Kraftangan Malaysia turut menampilkan tiga usahawan bagi membuat demonstrasi pembuatan produk kraf ukiran kayu oleh Tokoh Kraf Negara Encik Norhaiza bin Noordin, ukiran patung moyang orang asli Mah Meri oleh Adiguru Encik A. Samri a/l Abdul Rahman dan anyaman pandan orang asli Mah Meri oleh Puan Maznah anak Unyan.