19 Mei 2023, 18:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Perpaduan Negara buat julung-julung kalinya akan menganjurkan sambutan Minggu Perpaduan 2023 yang bakal berlangsung secara serentak di seluruh negara dari 20 hingga 28 Mei ini.

Sambutan Minggu Perpaduan 2023 bertemakan Perpaduan dalam Kepelbagaian adalah untuk menyemarakkan semangat perpaduan serta menyebarluaskan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap kepelbagaian adat dan budaya dalam masyarakat Malaysia.

Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Perpaduan, Tuan Faizal Yusop berkata sambutan Minggu Perpaduan Negara 2023 akan diadakan secara serentak di 15 lokasi seluruh negara dan sambutan peringkat kebangsaan pula akan berlangsung dari 20 hingga 26 Mei 2023 di Waterfront Kuching, Sarawak.

Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Perpaduan, Tuan Faizal Yusop ketika menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Katanya, pemilihan kawasan tersebut sebagai lokasi sambutan peringkat kebangsaan adalah tepat dengan mengambil kira kepelbagaian dan keunikan etnik yang terdapat di negeri Sarawak selain lokasi tersebut terkenal dalam kalangan masyarakat.

“Sambutan minggu tersebut yang julung kalinya diadakan akan menjadi inisiatif tahunan kerajaan dalam memupuk aspirasi perpaduan nasional selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang diperkenalkan,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Beliau berkata terdapat pelbagai aktiviti menarik yang akan berlangsung sepanjang minggu tersebut seperti Unity Run and Ride, Gerai Jualan Rahmah, jualan barangan kraftangan, jualan produk usahawan dan pameran daripada pelbagai agensi kerajaan.

Tambah beliau, kementeriannya juga akan mengadakan Pameran Rumah Etnik yang membolehkan para pengunjung melihat kepelbagaian tradisi dan budaya kaum-kaum yang ada di Malaysia termasuklah dalam aspek pakaian dan makanan tradisi.

Beliau juga memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dijangka akan hadir mencemar duli merasmikan majlis pembukaan sambutan Minggu Perpaduan Negara 2023 peringkat kebangsaan di Waterfront Kuching, Sarawak pada 21 Mei 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.