23 Mei 2023, 17:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ditubuhkan pada tahun 2013 di bawah kendalian One Cool Group, One Cool Film Production secara rasmi dan aktif melebarkan sayapnya ke seluruh rantau Asia Pasifik, dengan anak syarikat Malaysia baru-baru ini. Perasmiannya dikendalikan oleh Sam Kan, Pengarah One Cool Film Malaysia, But Tang, Pengarah Eksekutif One Cool Film Production Hong Kong, dan artis di bawah One Cool Management, Yumi Wong. Turut hadir ialah karyawan filem tempatan terkenal, Adrian Teh, artis Henley Hii dan Pauline Tan, serta pelbagai pengedar filem Malaysia.

One Cool Film Production komited mempromosikan Hong Kong sebagai pengeluar filem selama ini, antaranya termasuklah Men on the Dragon (2018), A Witness Out of the Blue (2019), Zero to Hero (2021), dan Warriors of Future (2022). Perluasan ini berfungsi sebagai asas bagi memulakan penerbitan filem dan televisyen di Asia Tenggara dengan mengutamakan Malaysia untuk kandungan kreatif, konsep, dan lokasi penggambaran, dengan harapan agar terus berkembang.

 “Potensi budaya di Malaysia luas, dan kami percaya idea itu berkisar tentang adat tempatan, legenda urban dan pertukaran budaya adalah amat menarik untuk penonton filem dan televisyen. Sejak mutakhir ini, kebangkitan platform digital telah memecahkan halangan hiburan global. Oleh sebab itu, produksi filem dan televisyen yang cemerlang pasti mampu mempromosikan Malaysia kepada khalayak antarabangsa dan menggalakkan pelancongan,” kata But Tang.

One Cool Film Malaysia mula berganding bahu dengan sebuah syarikat produksi tempatan pada Disember 2022 untuk membiayai dan menghasilkan filem pertama arahan pengarah anak Pulau Pinang, iaitu Wu Peiji, berjudul The Locksmith. Sebahagian besar penggambaran filem tersebut dirakamkan di Pulau Pinang.

Pelakon Malaysia, Yumi Wong.

“Penggambaran di Malaysia bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan dan pengalaman produksi untuk penduduk tempatan, malahan mempromosikan tarikan pelancong, mengukuhkan dan mempelbagaikan struktur keseluruhan industri pelancongan,” tambah beliau.

Menurut Yumi, yang juga salah seorang penerbit bersama The Locksmith, ini percubaan pertama beliau dalam produksi bersama-sama kerana yakin penuh dengan projek berkumpulan tersebut.

“Saya tidak sabar menantikan lebih banyak inisiatif kerjasama pada masa hadapan dan mengharapkan kejayaan “pecah panggung”,” kata Yumi yang melabur dalam filem terbitan Adrian, La Luna baru-baru ini sebagai tanda penyertaan pertamanya untuk melabur bersama-sama dalam syarikat kerjasama antara Singapura dengan Malaysia.

Diarahkan oleh Raihan Halim dari Singapura, La Luna dibintangi pelakon terkenal Malaysia seperti Shaheizy Sam dan Sharifah Amani. La Luna dipersembahkan oleh Clover Films, Papahan Films dan Adrian Teh ACT 2 Pictures serta disokong oleh Suruhanjaya Filem Singapura, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM, kini Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Shaheizy Sam.

Sementara itu, pengasas Clover Films, yang juga salah seorang penerbit La Luna, Lim Teck mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas sokongan One Cool Film Malaysia. Katanya, mereka bukan sahaja melabur dalam filem itu tetapi turut memberikan banyak sumber dan pendapat yang berharga.

“Ini ialah peluang kerjasama yang hebat untuk kami. Kami juga percaya kerjasama ini dapat membawa lebih banyak pendedahan bagi filem terbitan Singapura-Malaysia,” tambah Lim.

Hisyam Hamid dari Singapura dan Nadiya Nisaa (kanan) dalam sebuah adegan filem La Luna.

 

Adrian, yang juga pengarah Paskal (2018) dan Wira (2019) menganggap penubuhan One Cool Film dalam Malaysia ialah berita yang luar biasa untuk industri filem tempatan. Beliau benar-benar berharap agar kerjasama ini  membawa kepada sesuatu yang lebih besar dan lebih banyak peluang pada masa hadapan.

Dengan penubuhan One Cool Film di Malaysia, kumpulan ini merancang kembali ke Malaysia untuk membuat penggambaran filem lain pada separuh kedua 2023 dan juga sedang berbincang untuk melabur dalam projek filem tempatan yang lain. Sebagai tambahan kepada barisan pelakon Malaysia semasa, iaitu Yumi dan Fish Liew, One Cool Film Malaysia juga sedang dalam pencarian bakat yang sesuai bagi menetapkan standard baharu untuk pasaran.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.