24 Mei 2023, 09:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Selepas menyepi hampir tiga tahun, Anugerah Seni Cameronian BOH (BCAA) muncul semula dengan lebih hebat, panas dan pertama kali berlangsung di pentas teater.

Majlis penganugerahan Anugerah Seni Cameronian BOH (BCAA) ke-18.

Majlis Anugerah Seni Cameronian BOH ke-18 (18BCAA) menyampaikan 30 buah anugerah dan sejumlah wang tunai RM44 000 untuk penggiat seni daripada bidang tarian, muzik, teater muzikal dan teater di Stage 1 PJPAC, yang dilengkapi peralatan berteknologi terkini di sebuah pusat beli-belah terkemuka dekat sini, yang dikendalikan oleh empat orang hos diikuti rentetan lagu dan tarian, serta Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.

Anugerah BCAA tahun ini menampilkan sejumlah 30 kategori dalam tarian, muzik, teater muzikal dan teater, termasuk kategori Produksi Terbaik. Penerima anugerah diumumkan dalam bahagian Teknikal & Reka Bentuk, Artistik dan Persembahan. Setiap pemenang subkategori menerima trofi BCAA dan hadiah wang tunai RM1,000, manakala setiap pemenang terbaik menerima trofi BCAA, dan hadiah wang tunai RM5,000.

Empat orang pengacara yang hebat untuk acara “tali leher hitam” berdurasi dua jam itu ialah Tria Aziz, Angie Cheah, Ronnie (Mohd. Dzulhisyam Ismail), dan Nave VJ (Navindran Vijayakumar). Christopher Ling pula teruja kembali sebagai pengarah persembahan kali keempat, berkata bahawa idea untuk mempunyai kumpulan hos mencerminkan semangat komuniti seni.

Dalam acara “anugerah pertunjukan fesyen” yang sebenar dan dengan prosiding berlangsung dalam teater yang betul, 18BCAA dapat mempamerkan pementasan daripada lima calon terbaik – A Notional History, persembahan Five Arts Centre (Teater), Dark Light (Young Choral Academy – Muzik), Dream of the Red Chamber (Lee Rubber Chinese Orchestra KL – Muzik), Follow the Light (theatrethreesixty -Teater Muzikal), dan N2 (La Danza Theatre – Tarian).

Sebuah lagi acara kemuncak 18BCAA ialah lagu pembukaan, A New Day, gubahan KuLT Productions dengan muzik dan lirik oleh Kelvin Loh, Lydia Tong dan Terence Toh yang dipersembahkan oleh empat orang hos serba boleh. Sebuah lagi balada asli karya KuLT, Setia Pada Senimu dipersembahkan oleh Tria dengan vokal yang hebat, ditemani tiga orang pengacara bersama-samanya sebagai vokal latar.

Selepas sekian lama “hilang”, Anugerah Pencapaian Seumur Hidup Cameronian BOH kembali tahun ini yang diberikan kepada Datuk Mohd. Baharim Mohd. Sharip, 78, seorang veteran Dondang Sayang . Dondang Sayang tersenarai sebagai warisan budaya oleh UNESCO – seni tradisional Melayu yang masih dimainkan di Melaka oleh orang Melayu, Baba Nyonya, Cheti dan Portugis.

Penerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup Cameronian BOH 18BCAA, Datuk Mohd. Baharim Mohd. Sharip (kanan).

Pemenang kesembilan Anugerah Pencapaian Seumur Hidup Cameronian BOH ini mempelajari cara bermain biola dan menyanyi mengikut gaya seni tradisional daripada datuknya yang juga seorang seniman Dondang Sayang. Beliau telah menumpukan lima dekad terakhir dalam hidupnya untuk membuat persembahan Dondang Sayang dan memiliki lima buah album.

Sementara itu, theatrethreesixty mengungguli anugerah 18BCAA apabila memenangi tujuh anugerah, iaitu empat dalam kategori Teater Muzikal, dua kategori Teater dan satu kategori Pencalonan Terbaik.

Dalam kategori Teater Muzikal, theatrethreesixty meraih kejayaan menerusi Muzik dan Lirik Asal Terbaik oleh Nick Choo, Buku Asal Terbaik (Nick Choo), Pengarahan Muzik Terbaik (Nick Choo) dan Ensemble/Kumpulan Terbaik. Kesemuanya untuk Follow the Light.

Dua anugerah yang dimenanginya dalam kategori Teater ialah Pelakon Lelaki Terbaik oleh Shah Shaha untuk 24 Jam dalam 37 Tahun dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Anissa Azis/24 Jam dalam 37 Tahun).

Five Arts Centre pula memenangi empat anugerah iaitu dua dalam kategori Tarian, menerusi Persembahan Kumpulan Terbaik dan Koreografer dalam Tempoh Masa Panjang oleh Lee Ren Xin dan Tan Bee Hung untuk Anggota; satu kategori Teater, iaitu Skrip Asal Terbaik oleh Faiq Syazwan Kuhiri, Rahmah Pauzi, Fahmi Reza dan Mark Teh bagi A Notional History.

Seterusnya, Ballet Theatre Malaysia meraih tiga kejayaan dalam kategori Tarian, iaitu Rekaan Pencahayaan Terbaik oleh Tan Eng Heng, Rekaan Set dan/atau Visual Terbaik menerusi Passion Ma serta Kostum, Gaya dan Solekan Terbaik oleh Queenie Chong. Kesemuanya untuk Alice in Wonderland.

Lee Rubber Chinese Orchestra KL juga memenangi tiga kategori iaitu Tarian menerusi Persembahan Kumpulan Terbaik – Instrumental untuk The Lantern Festival in Dream of The Red Chamber dan Nilai Produksi Terbaik (Dream of the Red Chamber) serta satu Pencalonan Terbaik (Dream of the Red Chamber).

Iron Gang Puppet Theatre (IGPT) dan The Actors Studio Seni Teater Rakyat & Japan Foundation KL (TASSTR&JFKL) masing-masing meraih dua kejayaan.

IGPT memenangi Rekaan Pencahayaan Terbaik oleh Nicxon Tan dan Rekaan Muzik dan Bunyi Terbaik menerusi Fazz. Kedua-duanya untuk Ibu dalam kategori Teater.

Sementara TASSTR&JFKL pula memenangi Rekaan Kostum, Gaya & Solekan Terbaik oleh Wendy Kwek untuk Rashomon dalam kategori Teater dan Pengarahan Muzik Terbaik oleh Ian Chow, Easee Gan & Jacqueline Teng bagi Cabaret Series: Golden Melody dalam kategori Tarian.

Pemenang lain 18BCCA termasuklah (sekadar menyebut beberapa) TFA Inner Space Dance Company oleh Rohini Umesh Shetty dalam kategori Pelaku Utama Penampilan Terbaik, untuk Sadhana – The Grace Through Kathak, kategori Tarian, Damansara Performing Arts Centre (Koreografer Terbaik dalam Karya Campuran/ Raziman Sarbini/The Other Creatures-Creature Trilogy/Tarian), Geetha Shankaran Dance (Rekaan Bunyi & Muzik Terbaik/Jyotsna Prakash & Hariraam Tingyuan Lam/Kinnara – Moon People/Tarian), Caeleb Tee Music (Persembahan Solo Terbaik – Instrumental/Poom Prommachart/Love & Strength/Tarian), Viva Opera (Persembahan Solo Terbaik/Cecilia Yap/A Pilgrim’s Song/Viva Opera/Tarian), dan Revolution Stage & LiveInMyPoetry (Persembahan Kumpulan/Ensemble Terbaik/Bangsawan Indie: Raja Bersiong/Teater).

Gamechanger” turut diumumkan iaitu penerbit muzik kelahiran Kuching, Alvin Wee, yang merupakan rakyat Malaysia pertama memenangi Anugerah Cinema Audio Society (CAS) di Hollywood untuk Anugerah Pencapaian Luar Biasa dalam Adunan Muzik bagi karyanya dalam filem animasi Disney, Encanto.

Wee juga bekerja dalam pelbagai filem pecah panggung lain termasuk Kingsman: The Secret Service (2014), Mulan (2020), No Time to Die (2021), dan TopGun: Maverick (2022). Beliau terus menghasilkan karya di luar negara dan turut menyumbangkan bakatnya untuk pelbagai projek termasuk lagu Malaysia Prihatin (2020) untuk Hari Malaysia dan Sarawak Gemilang (2021) untuk Hari Sarawak.

BCAA Gamechangers merupakan individu atau organisasi yang telah memberikan kehangatan buat industri dengan bakat artistik yang tersendiri. Sewaktu musim Cammies, mereka dijemput untuk berkongsi pengalaman dan perjalanan kerja mereka dalam bidang minat dan profesionalisme masing-masing.

Dibawakan oleh BOH Plantations dan Kakiseni dengan firma perakaunan bertauliah BDO Malaysia sebagai rakan pengundian baharunya, majlis 18BCAA dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations Sdn. Bhd., Jason Foo; Presiden Persatuan Kakiseni, Low Ngai Yuen dan beberapa orang tokoh industri seni termasuk penerbit-pelakon Puan Sri Tiara Jacquelina serta Ketua Pegawai Eksekutif di Yayasan Sime Darby, Dr. Hajah Yatela Zainal Abidin; Wanita Pertama Teater Malaysia, Dato’ Dr. Faridah Merican serta pemuzik dan pengasas Penang House of Music, Paul Augustin.

Paul Augustin (kiri) menyampaikan anugerah kepada ahli-ahli Kuala Lumpur City Opera.

Dalam ucapan perasmiannya, Jason Foo mengucapkan tahniah kepada semua pemenang 18BCAA serta menyanjungi semangat ketekunan dan keazaman semua yang terlibat dalam sektor seni persembahan tempatan yang berjaya menempuhi COVID-19 2020-2022.

“Selepas dilancarkan pada tahun 2002, BCAA sentiasa menjadi pencapaian industri yang ditunggu-tunggu untuk meraikan bakat, kontribusi dan inspirasi cemerlang dalam industri seni persembahan,” ujar Foo.

Tambah beliau, 18BCAA membawa maksud yang lebih mendalam sebagai bukti yang kuat kepada kemahuan jiwa manusia yang memberi tumpuan kepada semangat, ketabahan dan versatiliti. Faktor “ummph” ini, katanya lagi, telah membantu penggiat seni mengharungi tahun-tahun sukar dapat terus bertahan.

“Hasilnya,  kini kita berada di ambang permulaan baharu untuk meraikan “A New Day Setia Pada Senimu”. Kami kini yakin industri seni persembahan boleh mencapai tahap kecemerlangan kreatif yang lebih tinggi,” kata Foo.

Low pula menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai tema 18BCAA, A New Day. Setia Pada Senimu bukan sahaja cerminan sebenar semangat komuniti seni persembahan yang telah bangkit daripada abu dengan semangat yang diperbaharu, tetapi juga rayuan agar seni turut menyertai usaha pemulihan Malaysia.

“Gesaan kami untuk bertindak melalui 18BCAA, #setiapadasenimu, adalah seruan untuk mempercepat kebangkitan seni. Kita memerlukan artis untuk terus bekerja dan berkarya. Kami merayu syarikat dan organisasi seni agar bertahan dan dengan rendah hati meminta penonton kembali ke teater. Kami menyeru tindakan yang lebih cepat, progresif diikuti pelaburan kewangan untuk merangsang semula sektor ini sekarang,” tegas Low sambil menambah pada masa-masa ketidakpastian inilah seni diperlukan lebih daripada sebelumnya.

Kata Low, memang penting seni tidak dilupakan. Walau bagaimanapun sebaliknya, tambah beliau, melalui karya yang mencerminkan, membentangkan dan memaparkan kisah hidup, seni terus menjadi saluran penting untuk menyokong kesejahteraan umum sebagai masyarakat dan bertindak sebagai pelepasan emosi untuk semua.

Tambah Low, pengaturcaraan musim 18BCAA membuktikan bahawa sektor seni telah melakukan yang terbaik untuk bangkit daripada pengalaman pahit yang dilalui semua semasa COVID-19.

 

Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan & Kesenian) Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN), Rosnan Nordin menyampaikan ucapan beliau.

 

Sementara itu, dalam ucapan ringkas tetapi menyentuh hati, Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan & Kesenian) Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN), Rosnan Nordin memberikan penghormatan kepada semua yang hadir dengan penegasan bahawa “seni menyatukan semua kaum”. Beliau mengingatkan bahawa yang tetap dimiliki adalah integriti serta semangat dan jangan mengalah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.