24 Mei 2023, 17:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Batu Pahat – Festival Bahasa dan Seni Kebangsaan anjuran Sekretariat Debat Bahasa Melayu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dan Sekretariat Rukun Negara UTHM telah berlangsung pada 18 Mei hingga 19 Mei 2023 di UTHM. Festival ini dirasmikan oleh Dr. Lutfan bin Jaes, Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum mewakili Naib Canselor UTHM, Profesor Ir. Ts. Dr. Ruzairi bin Abdul Rahim.

Perasmian Festival Bahasa dan Seni Kebangsaan

Bersempena dengan festival ini juga, pihak penganjur turut mengadakan Bazar Buku UTHM yang telah menyediakan reruai kepada 19 penerbit buku daripada Selangor, Melaka dan Johor di ruang legar, Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA). Pameran dan jualan buku ini telah memberikan peluang kepada hampir 3000 orang pengunjung mendapatkan buku pelbagai genre yang diminati. Terdapat beberapa aktiviti selingan telah diadakan di pentas mini seperti persembahan nyanyian, deklamasi puisi, pelancaran buku dan persembahan resensi buku bagi memeriahkan lagi Bazar Buku UTHM.

Suasana di Bazar Buku UTHM.

Selain Bazar Buku UTHM, pihak penganjur turut menganjurkan sesi intelektual yang dikendalikan oleh Dr. Hjh. Maskiah binti Masrom, Ketua Pusat Penyelidikan dan Penerbitan, Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) dengan tajuk “Gaya Bahasa dalam Pantun Kelakar Tenas Effendy”. Sesi intelektual yang berlangsung selama dua jam ini mengupas tentang metafora dan perlambangan dalam pantun-pantun Allahyarham Dr. Tenas Effendy yang diolah menggunakan gaya bahasa yang bersahaja, lucu dan sinis dalam konteks kehidupan masyarakat sehari-hari. Pertandingan pidato turut diadakan melibatkan penyertaan mahasiswa tempatan daripada pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara dan mahasiswa antarabangsa Festival Bahasa dan Seni Kebangsaan UTHM.

Majlis penutupan program ini disempurnakan oleh Encik Mahadzir bin Mat Zili, pegawai khas Ahli Parlimen Sri Gading, YB Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan. Beliau berpesan kepada generasi muda khususnya mahasiswa IPT agar meningkatkan penguasaan bahasa Melayu yang baik dan betul di samping membina jati diri melalui aktiviti seni agar sentiasa relevan sepanjang zaman.

Majlis ini diserikan lagi dengan pertandingan peringkat akhir Debat Parlimen Batu Pahat antara Sekolah Menengah Sains Batu Pahat dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Medan.

Johan Pertandingan Debat Parlimen Batu Pahat

Syabas dan tahniah diucapkan kepada SM Sains Batu Pahat yang telah dinobatkan selaku Juara Pertandingan Debat Parlimen Batu Pahat. Pertandingan pidato kategori terbuka pula dijuarai oleh saudari Sufiatul Farzana binti Rashidi, wakil Universiti Malaya, manakala saudari Diani Galih Saputri yang berasal daripada Malang, Indonesia pula diumumkan sebagai juara bagi kategori antarabangsa.

Turut hadir dalam majlis penutupan, Prof. Sr. Ts. Dr. Lokman Hakim bin Ismail, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Encik Mohd Riduwan bin Wahab, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan dan Encik Azman bin Khambali, Timbalan Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat.

Program yang turut mendapat kerjasama daripada YB. Tuan Haji Onn bin Abu Bakar, Ahli Parlimen Batu Pahat, Tunas Selatan Construction Sdn. Bhd., Dewa Master Resources, Ziegers Printing dan beberapa individu serta syarikat lain ini diharapkan dapat diteruskan lagi pada masa hadapan sebagai manifestasi masyarakat madani yang ditekankan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.