Oleh Abd Razak Osman
25 Mei 2023, 20:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi –  Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menganjurkan Program Pesona Langkawi Seni Budaya dan Pelancongan 2023 selama empat hari di Dataran Lang, Langkawi, Kedah bermula semalam.

Datuk Hajah Saraya Arbi (kiri) sedang menumbuk dalam lesong selepas merasmikan program.

Program ini diadakan bersempena dengan penganjuran Langkawi International Maritime And Aerospace Exhibition (LIMA‘23). Penganjuran program ini ialah salah satu inisiatif kementerian bagi menyemarakkan kegiatan ekonomi di negeri Kedah yang melibatkan ramai pihak, terutama kepada penggiat industri pelancongan, seni, budaya dan warisan.

Program ini juga memberi peluang kepada pelancong dalam dan luar negara untuk mengenali dan menikmati keindahan serta keunikan kepelbagaian aspek seni, budaya dan warisan negara. Antara pengisian menarik dalam program itu ialah Persembahan Khas Muzikal Tari “Keajaiban Puteri Langkawi”, Persembahan Colors of Malaysia, Permainan Tradisional, Pertandingan Battle of The Buskers, Persembahan Muzik Asli dan Cak Lempong, Larian Sarong, Senam Seni, Pameran, Food Fusion dan Community Based Arts.

Salah satu acara persembahan drama turut disaksikan oleh penonton.

Turut diadakan sama, Pertandingan Sepak Raga Tuju, Pertandingan Masakan Tradisional Langkawi, Pertandingan Kebaya Malaysia dan Pertandingan Nyanyian Irama Malaysia.

Datuk Hajah Saraya Arbi berucap merasmikan Program Pesona Langkawi Seni Budaya dan Pelancongan 2023.

Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Datuk Hajah Saraya Arbi ketika merasmikan program itu semalam berkata:

“Pulau Langkawi adalah antara destinasi pelancongan utama bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2025 nanti. Program Pesona Langkawi adalah permulaan ke arah menggalakkan pemuliharaan seni dan budaya penggiat-pengiat seni khususnya di Pulau Langkawi.

“Kepelbagaian budaya rakyat Malaysia dari segi pakaian, makanan dan kesenian memberikan pengalaman yang berbeza kepada para pelancong dan seterusnya mempelbagaikan produk pelancongan demi merancakkan industri pelancongan negara,”.

Menurut beliau, Malaysia MADANI ialah konsep yang dijulang kerajaan untuk mewujudkan sebuah negara  cemerlang, sejahtera dan berdaya saing tinggi melalui pembangunan yang lestari serta berkualiti.

“Ekonomi seni budaya ialah satu aset berpotensi besar dalam menjana ekonomi negara dan pelbagai usaha perlu dioptimumkan secara strategik. Sebagai persediaan ke arah Tahun Melawat Malaysia 2025 nanti yang menjangkakan ketibaan 23.5 juta pelancong antarabangsa dengan unjuran pendapatan RM76.8 bilion. Saya percaya Pulau Langkawi akan terus mendapat perhatian di peringkat antarabangsa,” kata beliau lagi.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.