26 Mei 2023, 09:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Sekumpulan Orang Gila” atau lebih dikenali sebagai SOG, kumpulan indie yang terkenal dengan kebolehan muzikal dan persembahan secara langsung yang amat bertenaga, akan mengadakan konsert terbaharu mereka pada 17 Jun 2023 di Jiospace, Petaling Jaya.

SOG telah memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-36 pada tahun 2022, sebuah anugerah muzik yang berprestij di Malaysia dan juga Anugerah Industri Muzik (AIM) untuk kategori Lagu Rock Terbaik pada tahun yang sama. Band ini telah membuktikan bahawa mereka mempunyai kebolehan muzikal dan memperoleh pengiktirafan daripada pengkritik dan peminat muzik.

Poster “Konsert SOG Reimaginasi”

Idea untuk mengadakan konsert ini bermula daripada kehangatan dan penerimaan baik peminat pada konsert yang lepas pada 16 Oktober 2016 di UiTM Shah Alam dengan kerjasama Jennifer Thompson. Dianggarkan sebanyak 500 orang peminat telah hadir memenuhi setiap ruang di konsert tersebut. Kini bagi memenuhi permintaan kawan-kawan dan peminat, SOG bakal beraksi di gelanggang yang lebih luas agar dapat menghiburkan lebih ramai khalayak. Konsert ini dijangka berlangsung selama 2 jam bermula pada pukul 8.30 malam.

SOG ialah kumpulan pemuzik yang suka mencuba sesuatu yang baharu dan mencabar diri bertujuan untuk menjadi pengkarya yang lebih “mewah” dengan ilmu serta pengalaman. Sebelum ini mereka telah bereksperimen mengadunkan elemen muzik tradisional dan kebudayaan dalam lagu-lagu SOG. Bagi menampilkan kelainan, mereka bakal beraksi pula dengan kumpulan orkestra simfoni yang sering dikaitkan dengan bunyi-bunyian klasik Barat.

Pada kali ini, SOG berkarya dengan diiringi kumpulan orkestra simfoni yang dianggotai oleh 30 orang pemuzik berserta alat-alat muzik bertali, woodwind dan brass. Semestinya karya-karya SOG sebelum ini yang berentak post-harcore atau modern rock akan lebih epik dengan kehadiran kumpulan orkestra simfoni tersebut.

“Kami sangat teruja untuk mengadakan konsert ini dan berazam untuk menyajikan persembahan terbaik demi peminat-peminat kami. Konsert kali ini pasti memberikan pengalaman yang akan dikenang oleh semua yang hadir,” kata salah seorang ahli SOG.

“Konsert SOG Reimaginasi” ini turut menampilkan artis-artis undangan, seperti Shila Amzah, Naim Daniel dan Asmidar. Semua artis yang membuat persembahan pada malam itu cukup dikenali dalam arena muzik Malaysia. Konsert ini diterbitkan oleh kumpulan SOG sendiri dengan kerjasama MK Ridzuan Edutainment. Dana bagi mengendalikan konsert ini pula adalah daripada MyCreative Ventures di bawah program Muzik Malaysia dan Dana Kandungan Digital Industri Muzik 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.