29 Mei 2023, 11:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – “Usaha untuk memperkasakan perpaduan melalui pembangunan negara bangsa perlu dilaksanakan seawal usia kanak-kanak. Kita sebagai rakyat bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan yang cintakan keharmonian seharusnya memperkasakan usaha bersama untuk memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang kukuh teras perpaduannya untuk generasi masa kini, demi masa depan kelak.”

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Perlis 2023.

Demikian dititahkan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Penutup Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Perlis 2023 bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-80 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis Tahun anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Perlis, Kementerian Perpaduan Negara di Dataran Dato Sheikh Ahmad Kangar.

Keberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar dan Perhubungan Antarabangsa Kementerian Perpaduan Negara, Mohd Sobri Mat Daud dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Perlis, Hanita Ahmad.

Tuanku Pemangku Raja Perlis turut menitahkan bahawa melalui program sebegini, masyarakat dapat mengenali budaya dan adat resam serta saling hormat menghormati antara satu sama lain. Situasi ini dapat mewujudkan satu perasaan dengan satu penyatuan dan rasa kekitaan masyarakat yang berbilang bangsa.

Jelas Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, penyatuan dan kebersamaan perlu ada dalam hati seluruh rakyat Perlis. Sebagai rakyat Perlis, masyarakat perlu ada jati diri, kasih sayang, rasa saling menghormati dan mempunyai perilaku berbudi bahasa kepada kekayaan tradisi, merayakan kemajmukan serta meraikan perbezaan pandangan.

Dalam majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra bersama-sama  Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menyaksikan persembahan silat, silambam, tarian singa, gendang panjang, persembahan cak lempong dan tarian Melayu.

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mencemar duli bergambar bersama-sama dengan para peserta serta pengunjung yang hadir.

Antara pengisian yang dilaksanakan bersempena dengan program tersebut ialah Larian Harmoni, Pertandingan Lensa Uniti, pameran agensi dan swasta, Pertandingan Reka Cipta Malaysia Madani Si Cilik, Festival Kesenian Etnik, Demonstrasi Seni Mempertahankan Diri, Pertandingan Cita Rasa Menu Kami, Demonstrasi Masakan Adabi, Kenduri Rakyat, Kayuhan Perpaduan, Senam Harmoni, Pertandingan Kolaj Kreatif Keluarga Si Cilik, Pertandingan Busana Si Cilik, Nostalgia Anak Kampung, Pertandingan Bercerita dan Kembara Ilmu, Explorace Perpaduan, Jualan Rahmah dan juga Pertandingan Woodball.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.