Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Kebudayaan Melayu Islam ialah teras dalam pembinaan peradaban negara Malaysia,” jelas YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kenyataan tersebut diucapkan dalam pembentangan kertas kerja beliau yang bertajuk Tamadun Melayu dalam Pembinaan Negara: Kenyataan Kini dan Kesinambungan Pemikiran Siddiq Fadzil.
Tambah beliau, kenyataan ini didokong kuat oleh Almarhum Siddiq Fadzil yang juga menyatakan sedemikian dalam siri syarahan serta penulisannya.
YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan turut menyentuh tentang isu “Penggerhanaan Tamadun Melayu” yang malangnya dilakukan oleh sebahagian pemimpin orang Melayu sendiri yang tidak memahami, menghayati dan menghargai warisan sejarah termasuklah aspek kebudayaan, bahasa dan agama. Beliau menzahirkan harapan agar kepimpinan negara waktu sekarang dapat “membersihkan” elemen-elemen tersebut.
YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman pula membentangkan kertas kerja beliau yang bertajuk Siddiq Fadzil Idealogi Kebangkitan dan Kesedaran Islam di Malaysia.
Beliau mengupas tentang sumbangan pemikiran Almarhum Siddiq Fadzil dalam membentuk pemikiran masyarakat serta kebangkitan dan kesedaran Islam di Malaysia.
Antara idea dan pemikiran Almarhum Siddiq Fadzil ialah Manhaj Malizi (pendekatan Islam cara Malaysia yang aman), Fiqh al-Aulawiyyat (fiqh keutamaan), Fiqh al-Ta’ayush al-Silmi (hidup bersama dalam budaya damai), Islam yang Rahmatanlilalamin, Maqasid Syariah dan Mahasiswa Budiman.
YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohammad Redzuan pada akhir pembentangannya menyarankan agar usaha untuk mengkaji pemikiran Almarhum Siddiq Fadzil dengan lebih mendalam digerakkan untuk mengembangkannya demi kebaikan masyarakat bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.
Seminar Fikrah Siddiq Fadzil yang membawa tema “Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia” telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri pagi tadi. Seminar yang julung kali diadakan itu berlangsung pada 30 hingga 31 Mei 2023 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.