1 Jun 2023, 08:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Profesor Dr. Sarjit Singh membicarakan gagasan penting pemikiran Almarhum Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil iaitu “Hidup Bersama dalam Budaya Damai”, “Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan” dan “Bangsa Malaysia” semasa membentangkan kertas kerja beliau yang bertajuk “Cabaran Mendepani Pembinaan Citra Bangsa”.

“Menjadi cabaran kepada Kerajaan Perpaduan pada hari ini menyahut fikrah Almarhum Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil dalam usaha membina semula naratif “Bangsa Malaysia,”ujar Profesor Dr. Sarjit Singh. Beliau turut menyeru semua pihak agar memikirkan idea penting peninggalan Almarhum Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil ini demi kebaikan bersama.

Profesor Dr. Sarjit Singh semasa mengupas kertas kerja beliau dalam Seminar Fikrah Siddiq Fadzil.

Menutup perbahasan pembentangan, beliau berpendapat bahawa gagasan “Bangsa Malaysia” ialah harapan setiap rakyat untuk hidup bersama secara aman dan damai.

Dr. Nor Salimah Abu Mansor pula membentangkan kertas kerja yang bertajuk “ Fikrah Dakwah Siddiq Fadzil dalam Mendepani Pembinaan Citra Bangsa”.

Menurut beliau, gagasan “Bangsa Malaysia” ialah sumbangan besar Almarhum Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil untuk mencapai perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. “Hal ini amat jarang dititikberatkan terutamanya oleh golongan agamawan tetapi Almarhum telah melangkau jauh ke hadapan melihat perpaduan bukan hanya dalam kelompok etnik atau kaum bahkan lebih jauh hingga menjangkau kepada persoalan “Bangsa Malaysia”.

Dr. Nor Salimah Abu Mansor membicarakan Fikrah Dakwah Siddiq Fadzil.

Dr. Nor Salimah Abu Mansor turut berkongsi tentang fikrah Almarhum dalam menentang idea-idea melampau sebahagian kelompok Melayu Islam yang prejudis terhadap bangsa lain. Almarhum juga berjuang membuang unsur-unsur negatif dalam kalangan Melayu Islam sendiri terutamanya dalam soal kesalahfahaman terhadap agama Islam agar mereka nanti dapat membantu usaha dalam membina citra bangsa.

Profesor Madya Dr. Khairudin Aljunied mengutarakan isu “Politik Identiti”.

Profesor Madya Dr. Khairudin Aljunied meneruskan sesi seminar dengan mengupas isu politik identiti dalam kertas kerja beliau yang bertajuk “Mengatasi Politik Identiti: Bagaimana Idea boleh Mengubah Realiti Kita”.

Menurut beliau, masalah politik identiti bukan sahaja dihadapi di rantau Nusantara malah di peringkat global dan jika isu ini tidak diatasi dengan bijak akan membawa kesan yang buruk kepada sesuatu bangsa dan negara.

“Idea boleh menjadi solusi kepada pelbagai permasalahan yang kita hadapi pada hari ini,”ujar Profesor Madya Dr. Khairudin Aljunied. Beliau juga menekankan keperluan melahirkan para pemikir yang memikirkan isu-isu yang dapat mengubah masyarakat.

Ketiga-tiga ahli panel sesi 3 Seminar Fikrah Siddiq Fadzil bersama-sama dengan pemudah cara Encik Saifullizan bin Yahaya.

Ketiga-tiga ahli panel tersebut membentangkan kertas kerja masing-masing dalam sesi 3 Seminar Fikrah Siddiq Fadzil yang membawa tema “Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia”. Seminar yang julung kali diadakan itu berlangsung pada 30 hingga 31 Mei 2023 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.

Foto: Zaidah Zakaria, DBP

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.