Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan memuji usaha sama Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (PAYAAM) dan Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR) mementaskan teater berjudul Cikgu Anda di Ballroom Grand Barakah Hotel, Ampang dekat sini pada 10 Jun ini.
Profesor Datuk Seri Dr. Awang yang juga Ahli Dewan Negara berharap pementasan teater berkenaan akan berjaya dan pihak penerbit dapat membawanya ke medium lain pula seperti filem atau drama bersiri televisyen pada suatu hari nanti.
“Teater Cikgu Anda penting kerana ia memartabatkan perjuangan dan pengorbanan para guru dalam mendidik anak bangsa mencapai kecemerlangan dalam pendidikan. Lebih khusus, teater ini mengangkat seorang tokoh besar, iaitu Perdana Menteri Malaysia sekarang yang semasa mudanya membuka peluang pembelajaran untuk mereka yang tercicir menerusi penubuhan sekolah swasta,” ujar Dr. Awang dalam ucapan beliau sewaktu melancarkan teater arahan Amran Nasrudin ini pada 1 Jun lalu dalam majlis pelancaran dan sidang media di hotel yang sama.
PAYAAM diketuai oleh Dato’ Dr. Suhaimi Ibrahim yang bertindak sebagai Penerbit dan juga pencetus idea Cikgu Anda sejak dua tahun lalu. Beliau yang sinonim dengan Majlis Belia Malaysia tidak lama dahulu adalah antara rakan rapat Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
PEMEKAR pula dipimpin oleh Amran, seorang pelakon, pengarah dan penggiat teater berpengalaman selama empat dekad sebagai pengerusinya. Selain mengarah, Amran turut bertanggungjawab mengolah pentas Cikgu Anda.
Ditubuhkan hampir dua tahun lalu, PEMEKAR bertujuan memperkasakan pencapaian karya-karya nostalgia insan seni. Pada masa yang sama, matlamat utamanya adalah menjalankan aktiviti serta program seni dan budaya bagi mencari dana kebajikan untuk para penggiat seni meneruskan kelangsungan hidup, lebih-lebih lagi akibat COVID-19.
Cikgu Anda juga dipentaskan bersempena dengan sambutan Hari Guru Kebangsaan 2023 yang membawa tema “Cikgu Pencetus Generasi Madani”. Skrip Cikgu Anda ditulis oleh penulis dan juga pelakon veteran, Anwar Idris.
Menurut Dato’ Dr. Suhaimi, pementasan teater Cikgu Anda yang berdurasi sekitar 90 minit bermula jam 8.30 malam, merupakan antara program PAYAAM untuk mengangkat perjuangan pengasasnya menubuhkan Yayasan Anda Akademik (YAA), yang dimaksudkan oleh Awang sebagai sebuah institusi pendidikan swasta untuk menampung keciciran pelajar khususnya pelajar luar bandar bagi meneruskan dan mendapatkan pendidikan yang lebih tinggi.
“Pementasannya juga diadakan untuk memugar cita-cita dan idealisme perjuangan YAA menerusi motto ‘Insan Akademis yang Bertaqwa’ yang telah dicetuskan oleh Anwar sebagai pengasas dan dianggap sebagai ikon pendidikan negara,” tambah Dr. Suhaimi.
Teater ini juga memberikan peluang kepada masyarakat berkongsi pengalaman mengenai falsafah dan perjuangan serta sumbangan besar yang telah diberikan oleh Anwar dalam bidang pendidikan pada zaman mudanya di YAA sebagai sebuah institusi pendidikan swasta yang berjaya dan berpengaruh dalam pembangunan pendidikan negara.
Cikgu Anda dijayakan oleh gabungan pelakon berpengalaman luas dan generasi baharu, iaitu Dato’ Ahmad Tamimi Siregar, Abon, Mubarak Majid, Hairi Safwan, Najua P. Ramlee, Che Mat Raja Lawak, Sarah Fazny, Irea Sabariah, Shasha Marcela, Amir Ameezan, Fitri Amran, dan Rizal.
Cikgu Anda mengisahkan Nazri (lakonan Che Mat Raja Lawak) yang nekad berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menimba ilmu di YAA setelah kecewa hanya memperoleh gred 3 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Sasaran utama Nazri untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STP) dan kemudian ke institusi pengajian tinggi. Dengan bantuan Cikgu Anwar Ibrahim (Hairi Safwan), Nazri diterima menjadi pelajar.
Nazri hidup sebatang kara di Kuala Lumpur. Segala kos sara hidup dan pelajaran terpaksa diusahakannya sendiri. Nazri bekerja di kedai makan Amjal. Biasanya jika dia bekerja pada waktu malam, dia akan belajar pada waktu siang. Begitu juga sebaliknya bersilih ganti.
Dengan bantuan pendidikan dari keluarga YAA, Nazri lulus cemerlang dalam STP dan berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya. Anwar sebagai Penaung YAA akan hadir sama menonton bersama-sama isteri dan ahli keluarga pada 10 Jun nanti. Tiada bayaran tiket dikenakan untuk menonton Cikgu Anda.
Selain Suhaimi, Amran, Anwar dan para pelakon Cikgu Anda, turut hadir ialah Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hidayatul ‘Ein Mohamad Azmi dan Ketua Pegawai Eksekutif hotel tersebut yang juga Penerbit Eksekutif, Dato’ Seri Razali Mohd Sham.
Majlis pelancaran dan sidang media itu turut diserikan dengan persembahan fragmen teater Cikgu Anda yang dijayakan oleh Che Mat, Abon, Najua, Irea, dan Dato’ Ahmad Tamimi.