7 Jun 2023, 12:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pada 29 Mei 2023 yang lalu merupakan tarikh pemergian Tan Sri P. Ramlee ke rahmatullah yang ke-50 tahun. Selama 49 tahun sebelumnya, waris dan ahli keluarga Seniman Agung ini mengadakan majlis tahlil, dan bacaan Surah Yasin  pada setiap tahun di lokasi yang berbeza, termasuk rumah kelahirannya di Jalan P. Ramlee, Pulau Pinang, yang kini dipanggil Rumah P. Ramlee.

Pustaka Peringatan P. Ramlee mula dibina pada 11 Julai 1986.

Bertempat di Pustaka Peringatan P. Ramlee (PPPR) di Taman P. Ramlee, cucu kepada Tan Sri P. Ramlee, iaitu Najua, 35 tahun, dan kakaknya, Natasya, 36 tahun, mengambil inisiatif mengadakan majlis tahlil, dan bacaan Surah Yasin yang dianggap istimewa.

Najua P. Ramlee.

Majlis tersebut dilangsungkan di tempat yang juga rumah terakhir yang didiami P. Ramlee bersama-sama isteri, Allahyarhamah Biduan Negara Puan Sri Saloma sejak tahun 1964, yang merupakan hadiah serta tanda penghargaan Shaw Brothers kepada beliau dan menjadi lambang kegemilangan kegiatan seni industri perfileman negara pada ketika itu.

Menurut Najua, atau lebih dikenali sebagai pelakon, penyanyi dan pengacara dengan nama Najua P. Ramlee, walaupun majlis tahlil dan bacaan Surah Yasin pernah diadakan di lokasi tersebut, tetapi bersempena dengan lima dekad pemergian datuknya itu, amat sesuai diadakan di situ. Pihak PPPR juga tiada sebarang masalah memberikan kerjasama dalam penganjurannya. Tahlil dan bacaan Surah Yasin dipimpin oleh pegawai dari Arkib Negara Malaysia (ANM).

Selain waris dan ahli keluarga P. Ramlee, serta kenalan, peminat dan pengkaji, Najua dan Natasya turut mengundang orang ramai yang berkelapangan masa untuk hadir.

Pengarah Bahagian Arkib Negarawan, Arkib Negara Malaysia, Hanizah Jonoh.

Antara yang hadir termasuklah penyanyi veteran Rozita Rohaizad, pelakon veteran terkenal Mubarak Majid dan Rashidah Jaafar serta beberapa orang pelakon lain, seperti Mohd. Saifullah Ghazali, bersama-sama Pengarah Bahagian Arkib Negarawan, ANM, Hanizah Jonoh dan Pengurus PPPR, ANM, Daslila Mohd. Dahlan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.