Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Selepas menjalani penggambaran di Turki dan Malaysia dari 14 Jun sehingga 6 September 2022, filem yang diilhamkan daripada kisah benar, iaitu MALBATT: Misi Bakara bakal menjengah pawagam berhampiran anda bermula 24 Ogos 2023 depan.
Pengarah dan juga penerbitnya, Andrian Teh, mengesahkan bahawa filem bercorak aksi lasak patriotik ini sudah bersedia dipertonton bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan negara bagi tahun 2023.
“Baki beberapa bulan ini akan digunakan sebaik-baiknya untuk menyunting dan membuat sentuhan terakhir sebelum hari mula tayangan MALBATT: Misi Bakara,” katanya yang juga pengarah PASKAL The Movie (2018), dan Wira (2019).
Adrian memberitahu ketika berusia 17 tahun, beliau menonton filem Black Hawk Dawn (2001), arahan Ridley Scott (yang mengutip $173 juta), dan amat menyukai malah kagum dengannya.
“Namun demikian, saya langsung tidak terfikir akan berpeluang untuk menceritakan kisah bersejarah dalam Black Hawk Dawn itu dari sudut pandangan Malaysia,” kata Adrian yang terpanggil untuk menceritakan kejadian sebenar kepada semua.
Justeru, Adrian mengerahkan segala sumber, usaha, kepakaran dan teknik penggambaran untuk menyiapkan MALBATT: Misi Bakara. Beliau menganggap filem ini yang paling sukar dihasilkannya tetapi berharap semua orang akan berpuas hati kelak.
Adrian menyatakan sedemikian ketika berucap dalam majlis Pelancaran Filem dan Sidang Media MALBATT: Misi Bakara di GSC Mid Valley pada 30 Mei lalu. Turut hadir ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab. Rahman; serta Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun, Tee Yee Peng, Dato’ Razak Al-Malique, Carla Soong, Yk Tung dan Raja Jastina Raja Arshad selaku Penerbit Eksekutif.
Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato’ Kamil Othman; Pengarah Kanan Kejuruteraan FINAS, Ts Raja Adhzim; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Land, Syed Ali Shahul Hameed; Pengarah Urusan Berjaya Pictures, Budi Citawan Wan Hanafi; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Golden Screen Cinemas, Koh Mei Lee turut hadir.
Menariknya, selain merupakan filem Malaysia pertama dalam IMAX, MALBATT: Misi Bakara juga ialah filem tanpa watak wanita apabila dibintangi 17 orang pelakon lelaki tanah air bertaraf bintang/besar dan kecil mendukung watak anggota Tentera Darat Malaysia.
Kesemua mereka kecuali Fauzi Nawawi, iaitu Bront Palarae, Shaheizy Sam, Hairul Azreen, Zahiril Adzim, Iedil Dzuhrie, Adlin Aman Ramlie, Tony Eusoff, Syazwan Zulkifly, Gambit Saifullah, Nafiez Zaidi, Dafi Ismail Sabri, Taufiq Hanafi, Ikhram Juhari, Safwan Nazri, Dini Schatzmann, dan Theebaan G ikut hadir.
MALBATT: Misi Bakara dipersembahkan oleh Tentera Darat Malaysia bersama-sama Berjaya Pictures Sdn. Bhd., Act 2 Pictures Sdn. Bhd., Fast Bikes Sdn. Bhd., Aurum Investments Limited, serta Golden Screen Cinemas Sdn. Bhd., dan Astro Shaw Sdn. Bhd.
Menurut Jeneral Datuk Seri Mohammad dalam ucapan beliau, pihaknya berharap MMB dapat memaparkan fakta sebenar peristiwa bersejarah di Mogadishu itu kerana dibuat berdasarkan maklumat daripada mereka yang terlibat secara langsung dalam pertempuran tersebut.
“Fakta sebenar memang penting ditonjolkan demi menghargai pengorbanan anggota tentera yang menyabung nyawa untuk menyempurnakan amanah negara,” tegas beliau yang kemudian ditambah oleh Hairul semasa soal jawab sidang media bahawa beliau memang mahu terlibat dengan filem yang boleh memaparkan kehebatan Malaysia dan angkatan tentera daratnya di mata dunia seperti MALBATT: Misi Bakara.
Pada majlis itu juga turut diumumkan beberapa buah anak syarikat kepada Berjaya Corporation yang menjadi rakan promosi filem MALBATT: Misi Bakara. Kesemuanya akan menampilkan pelbagai promosi bersempena dengan tayangan filem. Kerjasama penerbit filem dengan syarikat-syarikat gergasi tersebut bakal menjadi penanda aras kepada industri perfileman negara.
Berjaya Pictures, sebuah anak syarikat di bawah Berjaya Land, merupakan pelabur terbesar dalam filem ini. Sehubungan dengan itu, Vincent berharap filem ini mampu memberikan inspirasi kepada penonton untuk menghargai perjuangan wira tanah air.
“Wira-wira MALBATT telah membuktikan tiada halangan yang tidak boleh diatasi apabila kita berdiri bersama-sama. Mereka telah menunjukkan kuasa perpaduan dalam kepelbagaian. Ini ialah prinsip asas negara kita yang tercinta,” kata Vincent.
MALBATT: Misi Bakara menampilkan kisah benar mengenai operasi menyelamatkan tentera Amerika Syarikat yang terperangkap apabila helikopter Black Hawk mereka terhempas di Somalia.
Pada tahun 1993, semasa perang saudara di Somalia, kebuluran dan kematian melanda negara itu. Operasi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah ditubuhkan di Mogadishu untuk membantu serta melindungi kegiatan kemanusiaan daripada diserang dan disembelih oleh Panglima Perang Somalia Jeneral Mohamed Farrah Aidid, dan militannya.
Pada 13 Oktober 1993, selepas berjaya menyelamatkan wartawan asing daripada cengkaman militan, Batalion Malaysia (MALBATT) menerima perintah kecemasan baharu daripada Operasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Somalia atau UNOSOM.
Semasa percubaan memberkas Menteri Luar Aidid dan penasihat politik tertingginya, dua buah helikopter tentera Amerika Syarikat ditembak jatuh. Juruterbang dan anak kapal bersama-sama 70 orang renjer Amerika Syarikat terperangkap dan dikelilingi militan tanpa jalan keluar.
Misi MALBATT ialah membantu tentera Amerika Syarikat menyelamatkan semua anggota tentera mereka sama ada hidup atau mati.