13 Julai 2023, 17:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) telah menetapkan hala tuju untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara Maju Rakyat Berbudaya bersandarkan pendekatan budaya nilai tinggi yang ditunjangi oleh tiga elemen utama iaitu tatasusila, tatacara dan tahap keintelektualan serta amalan nilai-nilai murni.

Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) melalui kolaborasi pihak Pengajian Konservatori Muzik, Pengajian Seni Persembahan dan Pengajian Seni Liberal terpanggil untuk menganjurkan Konsert Leluri Gemalai 2023 “Bunga Tanjung” demi memperkasakan pelajar KPSK, UiTM dalam memperjuangkan kelestarian seni budaya tradisional tanah air.

Objektif utama penganjuran program ini ialah untuk mewujudkan jaringan sinergi antara warga Pengajian Konservatori Muzik, Pengajian Seni Persembahan dan Pengajian Seni Liberal di samping menjadikan program ini sebagai penilaian akhir bagi kursus-kursus yang terlibat.

Konsert Leluri Gemalai 2023 “Bunga Tanjung” akan berlangsung pada 14 dan 15 Julai (Jumaat dan Sabtu) bertempat di Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM Shah Alam. Konsert akan bermula pada pukul 8:30 hingga 10:30 malam.

Leluri Gemalai 2023 “Bunga Tanjung” mangajak masyarakat terutamanya golongan remaja agar menghargai dan melestarikan budaya, muzik dan tarian tradisional Melayu.

Leluri Gemalai 2023 “Bunga Tanjung” ialah satu persembahan pentas yang mengangkat budaya muzik dan tarian tradisional Melayu seperti asli, inang, zapin, joget, caklempong, gamelan dan canggung. Antara lagu-lagu yang bakal dipersembahkan ialah Bunga Tanjung (asli), Zapin Panglima (Zapin Dayung), Inang Paku Lanang (inang), Umpan Jinak di Air Tenang (joget), Ala Canggung (canggung), Merbau Caklempong, Perang (gamelan), Rajuk Rindu (Kontemporari Zapin) dan Ghazal Seri Mersing.

Menurut Dr. Juriani Jamaludin, Ketua Pengajian Konservatori Muzik, konsert Leluri Gemalai 2023 “Bunga Tanjung” ini mampu memperkasa dan menyerlahkan bakat para pelajar KPSK. Gabungan dan kerjasama ketiga-tiga pengajian ini merupakan platform awal untuk mempersiapkan pelajar menuju ke alam pekerjaan dan sekali gus menyumbang kepada kerancakan dan kepelbagaian acara dalam memartabatkan seni budaya tempatan.

Beliau juga menambah bahawa projek ini menyediakan platform untuk pelajar terus bereksplorasi dan bereksperimen bagi memperlihatkan kesungguhan dan kerja keras pelajar sehingga membuahkan hasil.

Dr. Norzizi Zulkifli, Ketua Pengajian Seni Persembahan pula menekankan bahawa konsert yang berkonsepkan tradisional ini merupakan produk yang memerlukan usaha sinergi semua pihak. Beliau menyifatkan bahawa usaha ini ibarat irama dan lagu yang tidak boleh dipisahkan.

Bagi Ketua Pengajian Seni Liberal, Dr. Ahmad Kamal Basyah Sallehuddin, konsert ini merupakan platform untuk melatih pelajar mengendalikan acara yang lebih besar serta bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah secara kritis, kreatif, profesional dan yang terpenting ialah mampu bekerja di dalam pelbagai situasi. Hal ini membuktikan bahawa industri ini tidak ketandusan bakat terutamanya dalam bidang pengurusan acara dan pengurusan seni.

Sebagai rakan media rasmi Konsert Leluri Gemalai 2023 “Bunga Tanjung” anjuran Fakulti Pengajian Seni Kreatif, Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Syamil Fahim berkata, “Kemasyhuran sesebuah negara bergantung kepada manifestasi seni dan budayanya kerana unsur ini mempunyai peranan yang cukup besar dalam pembangunan sesebuah bangsa dan negara yang beridentiti.”

Pelibatan Portal Majalah Remaja yang berfokus kepada golongan remaja sangat sesuai dalam usaha sama mengangkat program seperti ini demi memperjuangkan kelestarian seni budaya tradisional tanah air yang secara tidak langsung mampu menarik minat mereka untuk menyelami dan menghargai seni budaya tradisional.

Untuk rekod, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) akan terus berusaha dalam memastikan penghasilan graduan seimbang yang kompetitif di peringkat nasional dan global serta memperkasa jaringan strategik dengan alumni dan industri, seterusnya dapat menyerlahkan potensi pelajar dan tenaga kerjanya.

Kemahiran insaniah seumpama ini ialah satu esensi bagi pelajar KPSK agar bakat mereka diasah dengan sebaiknya dalam memastikan kelestarian kualiti graduan KPSK, sejajar dengan Pelan Strategik UiTM 2025 ke arah Globally Renowned University 2025.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.