Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAyer Keroh – Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia melalui agensinya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka telah menganjurkan bengkel dua dalam satu iaitu Bengkel Asas Pengendalian Bunyi dan Penataan Cahaya, yang berakhir semalam.
Pengarah JKKN Melaka, Cik Ezlina binti Alias berkata, bengkel dua hari yang dilaksanakan secara usahasama antara Apple Communication Sdn Bhd dan JKKN Melaka itu disertai oleh 30 orang peserta.
Menurut Ezlina, turut diadakan bersempena bengkel dua dalam satu itu ialah Bengkel Tari Klasik Istana dan Borneo.
Katanya, bengkel Pengendalian Bunyi dan Penataan Cahaya telah dikendalikan oleh pemain industri kreatif iaitu Encik Abda Abdul Nasir, Pengarah Teknikal Platinum Apple Communication Sdn. Bhd.
“Pada bengkel ini para peserta telah didedahkan dengan pelbagai perkara seperti mengenali dan mengetahui fungsi jenis-jenis peralatan teknikal yang berkaitan audio dan sistem siar raya, penggunaan peralatan audio dan sistem siar raya manakala bagi Bengkel Penataan Bunyi mereka diberi pendedahan mengenai pengenalan awal teknik mengendalikan sistem bunyi dari sebuah alat mixer, imbangan dan kawalan bunyi.
“Bagi Bengkel Penataan Cahaya pula peserta diberi bimbingan dengan pengenalan awal teknik mengendalikan sistem lampu dari sebuah dimmer, pencahayaan untuk persembahan dan falsafah cahaya dalam persembahan.
“Apa yang lebih menarik, sebagai penutup bengkel, para peserta turut ditugaskan untuk mengendalikan sistem audio dan cahaya bagi mengiringi persembahan dari 30 orang peserta Bengkel Tari Klasik Istana dan Borneo yang terdiri daripada Artis Budaya JKKN Melaka dan Briged Seni Melaka.
Ezlina menjelaskan, kedua-dua bengkel ini penting sebagai permulaan kepada asas pelaksanaan program Persijilan Kemahiran Malaysia Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT) yang merupakan persijilan kemahiran yang diiktiraf oleh industri di Malaysia.
“JKKN merupakan Badan Peneraju Industri – Industry Lead Body (ILB) Seni Budaya lantikan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia yang bertanggungjawab dalam memperkasakan bidang kemahiran seni budaya sejak tahun 2018,”katanya.