20 Julai 2023, 14:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Filem arahan Jason Chong, Sumpahan Jerunei (judul antarabangsanya, Curse of the Jerunei), telah dipilih sebagai filem pilihan untuk Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) edisi ke-6 yang mengadakan tayangan perdana pada 20 Julai di Kuching.

Acara ini merupakan peristiwa penting kerana kali pertama AIFFA memilih filem tempatan untuk acara berprestij ini, seperti yang diumumkan secara rasmi oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah.

Dari kiri; Bront Palarae, Daiyan Trisha, Amerul Affendi, dan Ruminah Sidek ketika sidang media selepas tayangan filem lakonan mereka, Sumpahan Jerunei.

Diilhamkan daripada upacara pengorbanan di Sarawak sejak abad ke-13, Sumpahan Jerunei membawa kisah Dr. Sani, lakonan Bront Palarae, pergi mencari isterinya, (lakonan Sabrina Hassan) yang hilang semasa ekspedisi mengkaji jerunei (kutub totem). Beliau disertai Bee (Uqasha Senrose), Arjuna (Syafie Naswip), Hana (Daiyan Trisha), dan Tommy (Amerul Affendi).

Semasa menyusuri hutan untuk mencari penyelesaian, setiap ahli ekspedisi mengalami halusinasi. Arjuna (Syafie) misalnya menghiris jari sendiri akibat kerasukan selepas mengambil secebis kulit kayu jerunei. Sementara Bee dan Hana pula mendapati diri mereka berada di tempat yang aneh menakutkan apabila terjaga daripada tidur.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila jasad Bee dikuasai roh yang telah dikorbankan di sebuah jerunei, yang akhirnya membawa petaka kepada Tommy, seorang “pencari hantu” dalam media sosial.

Watak-watak lain dalam Sumpahan Jerunei yang menelan perbelanjaan RM5 juta ini ialah Madui, ketua kampung lakonan Tony Eusoff, Nula (Ruminah Sidek), dan Matalau (Yuyun Hamzah).

Dato’ Nancie Foo (dua dari kanan) ketika sidang media selepas tayangan filem Sumpahan Jerunei bersama-sama dari kiri Yuyun Hamzah, Syafie Naswip, Uqasha Senrose, dan Datin Dr. Wendy Wong.

Sinematografi Sumpahan Jerunei diarahkan oleh Haris Hue Abdullah. Heng Yin-Chau bertindak sebagai penyunting, dan Sharon Paul pula menata muzik.

Filem bercorak seram budaya ini diterbitkan oleh Produksi Seni 2020 dan Primeworks. Pada asalnya filem ini dijadualkan ditayangkan pada tahun 2020, tetapi terpaksa ditunda akibat penularan wabak pandemik COVID-19.

Penggambarannya dijalankan dalam masa 45 hari pada Ogos dan September 2019 di beberapa buah lokasi menarik seperti Mukah, Siburan dan Santubong di Sarawak.

Hak tayangan Sumpahan Jerunei juga dibeli oleh beberapa buah negara luar seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat di Marché du Film, bersempena dengan Festival Filem Cannes 2022.

Pada 18 Julai lalu berlangsung majlis tayangan filem dan sidang media Jerunei Malam di GSC Mid Valley yang turut dihadiri kesemua pelakon penting, kecuali Tony. Namun demikian, Jason tidak dapat hadir kerana komitmen kerja.

Dato’ Nancie Foo dan Datin Dr. Wendy Wong selaku penerbit turut hadir, dan menjawab banyak persoalan penting daripada pihak media.

Kira-kira empat tahun lalu (September 2019), Dato’ Nancie dan Dr. Wendy telah mengumumkan bahawa Produksi Seni 2020 akan menerbitkan sebuah filem yang memaparkan kisah budaya silam masyarakat kaum Melanau di Sarawak, iaitu cara pengebumian mereka.

Sumpahan Jerunei pada asalnya diterbitkan sebagai filem dokumentari. Namun demikian, Produksi Seni 2020 mengubah format filem ini menjadi sebuah filem cereka. Ini juga merupakan perkara menarik mengenai Sumpahan Jerunei.

“Sebelum memulakan penggambaran, kami mengambil masa selama empat tahun untuk membuat kajian. Akhirnya, kami sepakat untuk menjadikannya sebuah filem,” kata Nancie.

Datin Dr. Wendy Wong (lima dari kiri) dan Dato’ Nancie Foo bersama-sama barisan pelakon Sumpahan Jerunei semasa sidang media selepas tayangan filem tersebut.

Jelas Wendy, Produksi Seni 2020 memilih kisah kaum tersebut untuk difilemkan kerana mahu masyarakat dunia mengetahui keunikan yang terdapat di Sarawak.

“Idea untuk menerbitkan filem ini bermula daripada penyelidikan yang dijalankan beberapa tahun sebelumnya dan hasil penyelidikan itu kini terdapat di Muzium Sarawak,” jelas beliau.

Sementara itu, kesemua pelakon menyatakan kegembiraan mereka membintangi Sumpahan Jerunei walaupun mengakui menghadapi kesukaran seperti berdepan dengan pelbagai unsur alam semasa menjalani penggambaran. Uqasha misalnya, berasa agak ngeri sewaktu mahu menjayakan adegan di dalam sungai.

Dalam majlis berkenaan turut diadakan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan mencipta poster filem Sumpahan Jerunei oleh Nancie dan Wendy, serta cabutan bertuah untuk pihak media.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.