21 Julai 2023, 17:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Duyong – Dalam usaha untuk memastikan seni warisan dondang sayang yang begitu sinonim dengan Melaka terus kekal dan tidak luput ditelan zaman, kerajaan negeri bakal mewujudkan sebuah Institut Dondang Sayang di negeri Hang Tuah ini.

Perkara itu ditegaskan oleh Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang menyatakan, perkara itu bakal dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk mendapatkan kelulusan.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Menurut Datuk Abdul Razak, beberapa buah lokasi yang sesuai telah dicadangkan bagi mewujudkan institut yang dirancang itu dan antara yang bakal dipertimbangkan ialah di kawasan Banda Hilir.

“Institut yang akan ditubuhkan ini akan menjadi tempat untuk mengajar, melatih dan pada masa sama memberi pendedahan kepada golongan muda terhadap seni dondang sayang.

Hal ini kerana dondang sayang merupakan Warisan Tidak Ketara Dunia UNESCO (Intengible Heritage) di Melaka yang perlu dipelihara untuk anak cucu kita, selain perlu untuk kita perkenalkan pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyaksikan persiapan akhir penggiat seni yang akan membuat persembahan di Ballus-21st International Meeting of Folklore Sardinia, Itali bertempat di Balai Adat Perkampungan Hang Tuah, di sini, semalam.

Pembukaan Institut Dondang Sayang di Melaka dapat memastikan seni warisan dondang sayang terus kekal dan tidak luput ditelan zaman.

Hadir sama, Timbalannya Datuk Zaidi Attan; Pengurus Besar Institut Warisan Melaka (INSWA) Abdul Malek Bador; Pengurus Sungai Melaka Ventures Sdn. Bhd. Nurman Mohd Baroldin dan Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Azlan Abidin.

Abdul Razak turut menyarankan agar sekolah-sekolah di negeri ini turut bersama kerajaan negeri dalam usaha untuk terus menyuburkan dondang sayang di peringkat akar umbi.

“Kita melalui INSWA juga sedia bekerjasama dengan mana-mana sekolah yang berminat untuk mendalami dondang sayang,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.