17 Ogos 2023, 12:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Duta Besar Iran, Tuan Yang Terutama (TYT) Ali Asghar Mohammadi menyatakan rasa gembira kerana berpeluang dapat melawat dan berinteraksi dengan para penduduk setempat di Projek Transformasi Diraja Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Pemangku Raja Perlis dan TYT Ali Asghar ketika menyantuni penduduk di Projek Transformasi Diraja Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Perkampungan ini unik dan menarik, lebih-lebih lagi dengan rumah yang dicat dengan warna-warni.

Beliau memaklumkan demikian selepas mengiringi Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail melawat kampung tersebut.

Turut mengiringi ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, Mufti Negeri Perlis, Datuk Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj. Mohd Nazim Mohd Noor.

TYT Ali Asghar dan delegasinya berada di Perlis sempena lawatan kerja yang padat dengan program selama dua hari pada 14 Ogos dan 15 Ogos 2023 termasuklah membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Besar, perbincangan kerjasama dua hala dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), perbincangan dengan MAIPs serta menyampaikan syarahan umum antarabangsa juga di UniMAP.

Tuanku Pemangku Raja Perlis dan delegasi dari Iran itu menaiki “Choley” iaitu motorsikal beroda tiga yang cukup dikenali di negara Thailand untuk melawat kawasan yang menarik di sekitar kampung itu. Antara tempat menarik yang dikunjungi adalah Laman Laksa, Jambatan Tuanku Syed Putra, Laman Bunga Raya dan Anjung Persinggahan Diraja.

TYT Ali Asghar sempat merasai makanan tempatan yang disediakan.

TYT Ali Asghar turut tidak melepaskan peluang untuk merasai sendiri makanan tempatan seperti Laksa, Dodol, Aiskrim Malaysia dan lain-lain lagi.

TYT Ali Asghar dalam ucapannya kagum akan kepemimpinan Tuanku Pemangku Raja Perlis yang telah berjaya mentransformasikan sebuah kampung nelayan biasa sebelum ini melalui kerjasama pelbagai agensi khususnya MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan sokongan padu daripada masyarakat setempat berubah menjadi salah satu lokasi menarik di negeri Perlis dan kini semakin menjadi sebutan dan tumpuan para pelancong.

Walk-the-talk merupakan satu-satunya cara untuk mengubah minda dan sikap penduduk tempatan,” tambah beliau lagi.

Cuaca hujan yang agak lebat tidak menghalang Tuanku Pemangku Raja Perlis untuk menjalankan tanggungjawab baginda untuk menyantuni golongan asnaf yang memerlukan. Baginda turut berkenan untuk menyampaikan RM700 secara tunai dan “Kit MAIPs Peduli” yang berupa bahan makanan mentah kepada tiga keluarga terpilih di kawasan kampung itu sambil disaksikan TYT Ali Asghar dan para tetamu lain yang hadir.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.