17 Ogos 2023, 15:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pameran Kartun “Seiring Sejalan” yang julung-julung kalinya diadakan menepati hasrat kerajaan dalam usaha memelihara warisan dan budaya sebagai wadah melestarikan perpaduan.

Pameran yang berlangsung dari 11 Ogos hingga 30 September bersempena dengan Sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia 2023 (HKHM 2023) di Fahrenheit88 Mall, Bukit Bintang ini bertemakan “We Are Greater Together” selaras dengan tema sambutan HKHM 2023 iaitu “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”.

Pameran kartun ini dilaksanakan dengan kolaborasi antara Arkib Negara Malaysia (ANM) bersama Fahrenheit88 Mall, Rumah Kartun dan Komik Malaysia adalah untuk mengiktiraf industri kartun tempatan dengan para kartunis telah menterjemahkan warisan dan budaya negara secara kreatif dan unik.

Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang ketika berucap merasmikan Pameran Kartun “Seiring Sejalan”.

Pameran Kartun “Seiring Sejalan” ini juga mampu memberi pendedahan kepada orang ramai terutamanya kepada generasi muda hari ini tentang potensi industri kartun tempatan yang boleh diangkat hingga ke peringkat global seperti karya “Kampung Boy” yang dihasilkan oleh Dato’ Lat yang telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang berkata program ini turut menyemarakkan slogan “Segulai Sejalai” yang diaspirasikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia dan berjaya menarik perhatian pelbagai peringkat masyarakat, tidak hanya golongan kanak-kanak tetapi juga golongan dewasa, kerana apa yang dipamerkan adalah bahan bacaan hiburan berbentuk kartun dan komik sejak era 1950-an hingga kini.

Sementara itu, Ketua Pengarah ANM, YBhg. Dato’ Jaafar Sidek Hj. Abdul Rahman pula berkata ANM sangat komited dalam menganjurkan pameran yang berkonsepkan perpaduan dalam kepelbagaian sebagai satu strategi perkongsian menarik dan usaha untuk menyebarkan maklumat mengenai kepentingan memelihara warisan dan budaya.

Pameran ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti yang menarik seperti “Flea Market”, Sembang Santai dengan Kartunis Otai, Bengkel Melukis Kartun dan Komik dan lain-lain lagi pada setiap hujung minggu sepanjang tempoh penganjurannya.

Pameran Kartun “Seiring Sejalan” berlangsung dari 11 Ogos hingga 30 September bersempena dengan Sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia 2023.

Dalam pameran ini, terdapat himpunan koleksi karikatur yang dipamerkan berkaitan perpaduan masyarakat Malaysia, peristiwa kemerdekaan serta tokoh-tokoh Perdana Menteri Malaysia yang terdahulu bagi memberi peluang kepada para pengunjung untuk memahami sentimen dan pemikiran negara, saat sebelum dan selepas merdeka.

Lebih 60 karya yang dihasilkan oleh 50 orang artis tempatan turut dipamerkan berbentuk kartun, komik, karikatur dan animasi serta terdapat juga koleksi kulit majalah kartun dan komik yang pernah mewarnai dunia majalah komik di Malaysia seperti Batu Api, Geli Hati, Buletin Lubok, Politik Kedai Kopi dan banyak lagi.

Manakala, di ruangan pameran animasi tempatan pula mempamerkan sejarah perkembangan animasi tempatan dan bahan-bahan interaktif berkaitan animasi seperti Usop Sontorian, Anak-Anak Sidek, Kluang Man, Awang Kenit dan Robozeta selain turut mempamerkan hasil karya kartunis tersohor seperti Seniman Diraja Dato’ Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Dato’ Lat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.