Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pameran Shaimy Hashim: Alam Mimpi – Catan & Lukisan 1982-2022 berlangsung selama dua bulan, iaitu dari 1 Julai hingga 31 Ogos 2023 di Ruang Kreatif, Galeri Seni Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC).
Shaimy Hashim, 70 tahun, merupakan pelukis senior. Pameran solo tersebut meninjau lebih 50 buah karya catan, lukisan dan lakaran terpilih oleh beliau, yang dihasilkan dalam tempoh empat dekad.
Perasmian pameran karya anak kelahiran Pekan, Pahang Darul Makmur itu disempurnakan oleh mantan Ketua Pengarah Balai Seni Negara (BSN), Haned Masjak di tempat yang sama pada 13 Ogos lalu.
Pameran Shaimy Hashim: Alam Mimpi – Catan & Lukisan 1982-2022 menampilkan karya-karya aliran surealisme yang mula diterokai Shaimy sejak awal tahun 1980-an. Pameran ini juga merupakan dokumentasi pelukis terhadap situasi semasa, dan refleksi beliau terhadap cabaran kehidupan manusia menerusi karya alam bawah sedar, atau dunia mimpi.
Antara karya Shaimy yang menarik termasuklah Mengait Bulan Purnama yang dihasilkan daripada akrilik, berukuran 122 cm x 152 cm, dan Simfoni Topeng Menangis juga daripada akrilik, berukuran 213 cm x 305 cm.
Turut hadir mantan kurator BSN merangkap kurator pameran Shaimy Hashim: Alam Mimpi – Catan & Lukisan 1982-2022, Faizal Sidik; pelukis Shafie Hassan; serta Shaimy bersama-sama isteri, Hasnah Yusof dan anak perempuan mereka, Khatijah.
Dalam ucapannya, antara lain Haned berharap Ruang Kreatif, Galeri Seni MaTiC akan dikunjungi lebih ramai peminat seni, misalnya lukisan dan catan. Sebagai mantan ketua sebuah galeri seni kebangsaan, wajar beliau mengharapkan sedemikian, dan semoga perkara tersebut tidak hanya sekadar mimpi.
“Saya melihat pameran sebegini semakin kerap diadakan di ruangan ini, dan pujian wajar diberikan kepada Faizal Sidik kerana menjadi antara individu yang berusaha gigih membawanya ke sini dari semasa ke semasa,” ujar Haned lagi.
Bersempena dengan pameran tersebut, turut diadakan “Forum Pameran Alam Mimpi”, iaitu sebelum majlis perasmiannya. Forum tersebut yang dimudahcarakan oleh Faizal sendiri, menampilkan pensyarah dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Khairil Anwar dan juga Shaimy sebagai ahli panel.
Dalam bicara mereka, Khairil dan Shaimy menyimpulkan bahawa mimpi tidak dapat dipisahkan daripada manusia, termasuk seniman. Justeru, bukan perkara aneh jika ada antara karya mereka seperti lukisan atau catan/arca terhasil atau terilham daripada mimpi.
Majlis perasmian pameran Shaimy Hashim: Alam Mimpi – Catan & Lukisan 1982-2022 itu turut diserikan dengan deklamasi sajak oleh Hasnah dan Khatijah. Hasnah walaupun berkerusi roda, tetapi gembira dengan sajak beliau berjudul Pameran. Khatijah pula mendeklamasikan sajaknya, Lukisan yang Belum Sudah.