Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Selama ini masyarakat menganggap zikir adalah amalan yang berat untuk dipentaskan, apatah lagi dalam persembahan berbentuk konsert. Penampilannya dilihat janggal jika tidak dilakukan di masjid, surau atau lebih tepat lagi, di atas sejadah.
Zikir juga sering dikaitkan atau hanya sesuai untuk penyanyi nasyid sahaja. Walau bagaimanapun, artis nasyid terkenal dari kumpulan UNIC, Dr. Fitri Harris cuba mengubah persepsi tersebut apabila menjemput Lan Solo, penyanyi kumpulan rock Kristal X, serta penyanyi dan penyampai berita televisyen, Zehra Zambri menjayakan sebuah konsert zikir bulan depan.
Mereka akan disertai Bazli Channel, dan Fakhrul Radhi (ahli kumpulan UNIC), Afad Raihan, Aniq Muhai, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman, Ustazah Sofizah, kumpulan Rabithah, Firlany Gambus dan ramai lagi.
Konsert Mega Zikir Terapi merupakan sebuah acara zikir berskala besar kali pertama yang akan berlangsung di pentas berprestij di ibu kota, iaitu Zepp Kuala Lumpur.
Konsert anjuran Niyat, dan beberapa rakan strategik serta mendapat sokongan Geran Dana Kandungan Digital oleh MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi Digital (KKD) yang turut menerima tajaan utama dari Cinta Gaza Malaysia itu bakal dipentaskan pada 16 September 2023.
Dalam sidang media konsert berkonsepkan kejiwaan dan hiburan tersebut di Megaview 1 & 3 Banquet Deck, Menara Kuala Lumpur pada 10 Ogos lalu, Dr. Fitri memberitahu bahawa objektif utama adalah memperkenalkan bahawa muzik itu luas, serta mengandungi mesej-mesej yang baik dan murni.
“Saya yakin bahawa muzik akan menjadi lebih bererti, bermanfaat dan tidak lagi dipandang serong, terutama kepada kita, khususnya anak-anak pewaris bangsa dengan penganjuran konsert zikir ini,” tegas beliau yang bertindak sebagai pengarah konsert berkenaan.
Justeru menampilkan zikir sebagai teras Konsert Mega Zikir Terapi, Fitri merangkap pensyarah kanan di Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Universiti Utara Malaysia, turut menjelaskan kelebihan mengalunkannya.
“Zikir ialah satu bentuk terapi yang ada kaitan dengan psikoterapi. Dengannya, penonton akan dibawa ke satu dimensi, dan menikmati satu pengalaman luar biasa,” ujar beliau yang berharap konsert tersebut dapat memberi kesan, dan mencipta detik ketenangan yang menyentuh, serta membangkitkan jiwa.
Menariknya, tambah Fitri dalam ucapan beliau, muzik Konsert Mega Zikir Terapi turut mendapat sentuhan seorang lagi artis nasyid terkenal iaitu Hafiz Hamidun yang sangat sinonim dengan zikir terapi, selain penerima anugerah Susunan Vokal Terbaik dalam Lagu dalam Anugerah Muzik Malaysia.
Dalam sidang media yang turut dihadiri Hafiz itu, Fitri memberitahu seiring dengan usaha untuk menampilkan kelainan, Konsert Mega Zikir Terapi akan diiringi persembahan muzik secara langsung dari kumpulan Chaan dan Leman Band yang menggabungkan unsur tradisional, moden, dan fusion.
“Begitu pun, penonton perlu hadir menonton bagi merasai dan menjadi saksi bahawa jika dibawa dengan unik serta indah, penggabungan bunyi dan mesej, akan dapat memberikan pengalaman luar biasa buat mereka,” tegas beliau.
Selebriti televisyen terkenal yang banyak menulis lirik, Ahmad Fedtri Yahya, yang mengendalikan sidang media berkenaan serta sudah tentu Fitri dan Hafiz sendiri akan turut tampil di pentas Zepp Kuala Lumpur.
Sementara itu, Hafiz memang bersemangat dan gembira kerana Konsert Mega Zikir Terapi bakal berlangsung tidak lama lagi. Sudah pastilah jika ditanya, beliau mengharapkan kejayaan besar.
Hafiz memang tidak asing lagi dengan alunan zikir dalam album menerusi penerbitan Zikir Terapi Diri (2011), Zikir Terapi Diri 2 (2013), Zikir Terapi Diri 3 (2014), I Love Rasulullah (2015), Nur Zikir Terapi IV (2018), dan Zikir Terapi Acapella (2021).
Justeru, pemilihan beliau sebagai pengarah susunan seni suara Konsert Mega Zikir Terapi yang akan menampilkan 20 lagu selama kira-kira dua jam itu memang tepat.
Tarikh 16 September juga penting dan penuh bermakna bagi kita rakyat Malaysia. Tahun ini merupakan ulang tahun ke-60 penubuhan negara kita. Menyedari hal tersebut, Fitri tidak teragak-agak menjadikan 16 September 2023 sebagai hari seluruh Malaysia berzikir.
Oleh sebab acara tersebut diadakan pada tarikh yang sama dengan sambutan Hari Malaysia tahun ini, apakah mungkin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut hadir?
Menjawab pertanyaan itu, Fitri memberitahu menjadi harapan besar beliau Perdana Menteri dapat ikut memeriahkan konsert. Sambil meminta semua pihak mendoakan perkara tersebut menjadi kenyataan, beliau berterima kasih kepada KKD yang memberi sokongan padu.