Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPulau Pinang – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar usaha untuk memperkenalkan keunikan negeri Perlis kepada orang luar, terutamanya para pelancong hendaklah diteruskan secara agresif dan bertali arus dari semasa ke semasa.
Dengan harapan agar Perlis lebih dikenali di dalam negara dan di luar negara serta menjadi satu daripada pusat pelancongan terkenal baharu yang popular di Malaysia, pelbagai pendekatan yang lebih menarik perlu diperhebat termasuklah mempromosikan negeri ini melalui media sosial dan media arus perdana menerusi televisyen, akhbar serta majalah dengan penulisan artikel yang menarik dan gambar yang dapat menggambarkan keindahan di Perlis.
Baginda bertitah sedemikian selepas berkenan berangkat melancarkan promosi masakan Perlis di Bahang Bay Hotel, Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Pulau Pinang anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Jualan dan Pemasaran, The Blanket Group of Hotels & Resorts, Puan Mariana Omar, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra, YBhg. Datuk Johari Mohd Darus dan penyelaras pelaksanaan inisiatif tersebut, Encik Affendi Rajini Kanth.
Selain Bahang Bay Hotel, Langkapuri Resort, Langkawi, Vouk Hotel & Suites, Pulau Pinang, De Palma Hotel, Shah Alam dan De Palma Resort, Kuala Selangor juga merupakan hotel di bawah pengurusan The Blanket Group of Hotels & Resorts.
Sebagai satu daripada usaha untuk menjayakan Kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 kepada pasaran pelancongan domestik di negara ini, “Masakan Kurma Daging Perlis” menjadi sebahagian daripada menu istimewa yang ditawarkan di kelima-lima buah hotel berkenaan bermula 21 Ogos 2023 atas limpah perkenan baginda.
Hidangan masakan ini diharapkan mampu menambat selera pengunjung dan pelbagai kolaborasi promosi makanan Perlis harus dijalankan agar secara tidak langsung menu istimewa dari Perlis ini dapat diperkenalkan bukan sahaja di luar negeri, malah pada peringkat antarabangsa.
Pada masa yang sama, baginda berkesempatan meluangkan masa bersama-sama Cef Sous Eksekutif hotel tersebut, Azlin Abdullah bagi memastikan menu tersebut disediakan dengan sempurna.