22 Ogos 2023, 10:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Padang Besar – 120 orang peserta dari dalam dan juga luar negara mengambil bahagian dalam “The North Wall 2.0 Bukit Keteri Rock Climbing Competition 2023” yang berlangsung selama 3 hari bermula 18 Ogos hingga 20 Ogos 2023 di Bukit Keteri, Perlis.

Pertandingan kali kedua ini dianjurkan oleh Hermission House Extreme Sports Club (HESC) dan pada kali ini ditaja oleh The North Face Malaysia dengan kerjasama padu daripada Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Decathlon Malaysia, Hydro Flask Malaysia, Crux Particle, Reef Malaysia, The Boom Beverage, Project Rock dan Herschel Malaysia.

Pemangku Raja Perlis berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang diiringi sama oleh anakanda kedua baginda, Sharifah Farah Adriana Jamalullail, yang juga merangkap Penaung HHESC.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Setiausaha Hermission House Extreme Sports Club Sharifah Nadiah Wafa Syed Mohd Thalal.

Pelbagai kategori telah dipertandingkan dan para pemenang bagi setiap acara adalah Juniors (Dzuhair Alzam Mohd Zamri); Novice Mix Team (Elis Sahlin dan Jaemthida Rimjaeng); Novice Men’s Team (Joshua Kien Morrison dan Etienne Farcis); Novice Women (Ummu Nadhirah Liwauddin); dan Novice Men (Umar Aliff Zul Majid).

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berangkat mencemar duli untuk menyempurnakan pengurniaan hadiah-hadiah kepada para pemenang bagi kategori Open Mix Team (Vanessa Teng dan Tan Shi Hui); Open Men’s Team (Muhammad Akif Nukman Nazrilazdin dan Dzukram Alzam Mohd Zamri); Open Women (Vanessa Teng); dan Open Men (Norhafizi Bin Ishak).

Tuanku Pemangku Raja Perlis menzahirkan rasa sukacita atas kejayaan penganjuran pertandingan yang telah mendapat sambutan yang sangat baik pada tahun ini. Semoga Rock Climbing Competition ini akan terus diadakan pada tahun-tahun akan datang dan dianjurkan dengan lebih meriah dalam skala yang lebih besar.

Baginda juga bertitah menyarankan kepada para peserta yang datang dari jauh dan dekat agar dapat menguar-nguarkan kepada rakan-rakan peminat sukan mendaki di kawasan masing-masing supaya lebih banyak peserta akan datang ke Perlis mengambil bahagian dalam pertandingan ini khususnya pada dua tahun mendatang bersempena dengan Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Peserta Pertandingan The North Wall 2.0 Bukit Keteri Rock Climbing Competition 2023 bergambar bersama-sama dengan Pemangku Raja Perlis dan tetamu kehormat yang lain.

Turut hadir dalam acara tersebut ialah Menteri Besar, YAB Tuan Mohd Shukri Ramli.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.