Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangShah Alam – Kemeriahan Program Bintang Kecil Mini Fest 2023 yang dinanti-nantikan telah bermula apabila keluarga berkumpul di Plaza Masalam, Shah Alam untuk meraikan program yang menarik ini seiring dengan sambutan bulan kemerdekaan negara kita. Hari pertama telah berlangsung dengan jayanya, dengan penyertaan lebih daripada 2000 orang kanak-kanak dan ibu bapa yang telah memberikan seribu kegembiraan dan kenangan yang tidak akan dilupakan.
Bintang Kecil Mini Fest ialah inisiatif di bawah portal digital “Bintang Kecil” yang bernaung di bawah Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. Program ini telah dirasmikan oleh Syamil Fahim, Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv dan disaksikan oleh Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, Angkasawan Malaysia, Azhar Ahmad Ketua Pegawai Kewangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta Azura Mokhtar, Senior Centre Manager Plaza Shah Alam.
Program bermanfaat yang mengagumkan ini dikuasakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Karihome, dan Plaza Shah Alam. Program ini bertujuan untuk menanamkan keyakinan diri dan kemahiran sosial kanak-kanak dengan menyediakan platform bagi mereka untuk berinteraksi dengan rakan sebaya dan melibatkan diri dalam aktiviti berkumpulan. Bintang Kecil Mini Fest menggalakkan kerjasama dan semangat berpasukan, menonjolkan bakat kemahiran yang penting untuk kejayaan pada masa depan.
Sementara itu, ibu bapa yang terlibat sama dalam aktiviti bersama anak-anak, akan dapat membina ikatan yang lebih kuat dengan anak-anak dan dapat melihat perkembangan sosial mereka. Pada akhirnya, program ini tidak hanya memberi faedah kepada individu yang terlibat tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan dan kesepaduan komuniti secara keseluruhannya.
Suasana meriah dan bertenaga turut dirasai oleh seisi keluarga dengan acara perarakan mega oleh pelbagai unit badan beruniform yang menampilkan 350 orang murid dari empat buah sekolah terpilih iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Jawa, SK Bandar Anggerik, SK Seksyen 9 Shah Alam dan SK Kepong diiringi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Selain itu terdapat juga persembahan Haka dan Pertandingan Dewi Cilik.
Angkasawan Malaysia Dato’ Dr. Sheikh Muzaphar Shukor turut berkongsi petua untuk berjaya dalam alam persekolahan dan kehidupan. Menerusi ucapan beliau yang penuh inspirasi, beliau menekankan kepentingan menetapkan matlamat yang jelas dan mengekalkan rasa tekad yang kuat. Selain itu, beliau turut berkongsi kepentingan mempunyai minda untuk berkembang maju, menerima cabaran dan mencari peluang untuk pembelajaran berterusan.
Kehadiran selebriti terkenal seperti Mark Adam, Yana Samsudin, Shaza Bae dan ramai lagi menambahkan kemeriahan dan daya tarikan suasana Bintang Kecil Mini Fest. Pelibatan dan interaksi antara selebriti dengan penonton mencipta detik-detik yang tidak dapat dilupakan dan akan diingati oleh semua yang hadir pada program tersebut.
Fiza Frizzy selaku pengacara majlis memberikan aksi bersemangat penuh bertenaga dan dapat mengekalkan suasana meriah sepanjang program berlangsung.
Keluarga yang hadir juga boleh menyaksikan pameran haiwan peliharaan oleh Farm in the City, Pool Kidz Playground, Zumba, selain sesi cabutan bertuah.
Bintang Kecil Mini Fest bukan sekadar acara kosong yang tidak membawa apa apa erti kepada masyarakat, khususnya penduduk dan komuniti Shah Alam. Acara ini telah menyatukan dan membawa semangat persepakatan untuk pelbagai lapisan keluarga yang turut serta selain membawa kebaikan dalam aspek kekeluargaan dan nilai-nilai baik dalam komuniti.