Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPattani, Thailand – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menerima undangan berangkat menyaksikan persembahan pentas berjudul The Khon Performance: The Episode Of Building A Causeway To Lanka yang berlangsung di President Hall, Prince of Songkla University, Kampus Pattani, Thailand.
Keberangkatan tiba baginda berdua ke program anjuran The Pattani Khon Youth Group itu disambut oleh penaung penganjuran iaitu Senator Datuk Anusart Suwanmongkol.
The Pattani Khon Youth Group merupakan sebuah kumpulan melibatkan golongan pelajar dari Southern Border Provinces yang memang terkenal dengan pementasan drama dan kebudayaan tradisional Thailand yang dikenali sebagai Khon.
The Khon Performance ini dianjurkan bagi mempersembahkan penghormatan kepada Permaisuri Sirikit. Para tetamu hadir memakai pakaian berwarna biru dan biasanya dilangsungkan dalam bulan Ogos pada setiap tahun.
Khon merupakan drama tarian bertopeng klasik negara Thailand. Dari segi sejarahnya Khon telah dipersembahkan sejak zaman Ayutthaya dan dipersembahkan di Istana Diraja oleh lelaki bertopeng yang diiringi oleh pencerita dan orkestra tradisional Pipat.
Persembahan kali ini dilaksanakan secara babak demi babak yang dibahagikan kepada tajuk At Rama’s Pavilion, Front-curtain dance, The Sea Shore, Rama’s Pavilion, The Lanka Audience Hall, dan The Lanka Camp yang melibatkan kira-kira 90 orang peserta termasuk pemuzik.
Di akhir majlis Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Lailatul Shahreen turut berkenan untuk menyempurnakan penyampaian berupa sejambak bunga sebagai penghargaan kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan Thailand yang hadir dari Bangkok, Yuthika Isarangkura Na Ayutthaya, Gabenor Wilayah Pattani; Patimoh SadeeYamu serta Nontawat Khongmoh dan Petcharin Samlee Moung yang mewakili para peserta persembahan Khon berkenaan.
Tuanku Pemangku Raja Perlis menzahirkan rasa teruja dengan persembahan yang memukau para tetamu yang hadir. Baginda yakin persembahan kebudayaan seperti ini di Thailand akan kekal berterusan dari satu generasi kepada generasi yang lain.