24 Ogos 2023, 17:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Songkhla, Thailand – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Seminar Antarabangsa Integrasi Alam dan Tamadun (SUTERA) 2023 & SEMALU III yang diintegrasikan dengan tema “Budaya Penyelidikan Watan: Melestari Identiti Keunikan ASEAN” di Thaksin University (TSU), Songkhla, Thailand.

Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berucap merasmikan Seminar Antarabangsa Integrasi Alam dan Tamadun (SUTERA) 2023 & SEMALU III .

Keberangkatan tiba baginda bersama-sama Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke program yang dianjurkan secara bersama oleh universiti berusia 55 tahun dengan pelajar seramai 18,000 orang berkenaan bersama-sama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) itu disambut oleh Presiden TSU Dr. Nathapong Chitniratna.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menitahkan agar penyelidikan terhadap manuskrip Melayu lama diluaskan dan disinergikan dengan kecekapan ilmu sains dan teknologi terkini bagi memastikan bahasa serta budaya Melayu terus-menerus dikenali dan dipandang serius oleh masyarakat lokal dan antarabangsa.

“Bahasa dan ilmu persuratan Melayu sebagai khazanah warisan ilmu bangsa Melayu telah mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa. Manuskrip Melayu seperti, Hikayat Hang Tuah, dan Hikayat Aceh, telah diangkat dan diwartakan sebagai warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu atau (UNESCO),” titah baginda.

Tambah Tuanku Pemangku Raja Perlis, “Kementerian dan institusi pendidikan tinggi diseru untuk menitikberatkan pengukuhan adat, adab dan bahasa dalam kalangan generasi masa ini bukan sahaja dalam negara malah hingga ke luar negara”.

Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Canselor dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah sebagai Pro Canselor UniMAP menyempurnakan simbolik perasmian dengan membuka manuskrip yang dipersembahkan oleh Pengarah Program Bersama SUTERA 2023 & SEMALU III, Mohd Zaki Abdul Halim sambil diiringi alunan syair dan Nazam Kanzul ‘Ula.

Antara panelis program kali ini ialah Profesor Emeritus Datuk Dr. Asmah Omar, Dr. Noriah Mohamed, Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan, Dr. Burhan Che Daud dan Dr. Nor Hashimah Jalaluddin.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Naib Canselor UniMAP; Prof. Datuk Ts Dr. Hj. Zaliman Sauli, Pro Naib Canselor (Strategi dan Pembangunan Korporat) UKM; Prof. Datuk Dr. Roslee Rajikan dan Timbalan Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia; Dr. Aini Andria Shirin Anuarudin.

Pemangku Raja Perlis bergambar bersama-sama tetamu dan peserta Seminar Antarabangsa Integrasi Alam dan Tamadun (SUTERA) 2023 & SEMALU III.

Untuk rekod, penganjuran seminar ini merupakan lanjutan daripada SUTERA 2019 di Langkawi yang telah dianjurkan oleh Pusat Bahasa Antarabangsa, UniMAP dengan penganjuran bersama dengan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.