Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bertempat di Aras 8 Menara PNM, Jalan Tun Razak berlangsung Pameran Kemerdekaan Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan. Pameran anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) ini diadakan sepanjang Ogos bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-66.
Sejak penghujung tahun 2022, PNM berada di bawah naungan KPN selepas sekian lama dinaungi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Justeru, setiap acara anjurannya memang bekerjasama atau dinaungi kementerian tersebut.
Sesuai dengan kewujudan PNM sebagai wadah menempatkan buku-buku secara konvensional (di samping yang mengikut kemajuan teknologi), pameran kemerdekaan tersebut menampilkan bahan bacaan sedemikian yang berkaitan dengan sejarah penjajahan, dan kemerdekaan tanah air kita, Malaysia.
Selain paparan judul buku-buku dalam “Koleksi Peribadi” dan “Koleksi Nadir”, buku-buku seperti Jepun Menakluk Tanah Melayu & Borneo, Merdeka Torch Towards Freedom, Penderitaan Era Penjajahan Jepun, Makin Dicengkam Derita, Kejatuhan Jepun di Tanah Melayu, Menuju Kebebasan, Kebangkitan Pertama, Jepun Dalam Perang Asia Pasifik, dan Something To Remember turut dipamerkan.
Menariknya, Something To Remember merupakan buku tulisan Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj, Perdana Menteri pertama Persekutuan Tanah Melayu, yang juga dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan Malaysia.
Antara buku dalam “Koleksi Peribadi” ialah Tauhid Merdeka tulisan dan terbitan Abdullah al-Qari Hj. Salleh pada tahun 1950, The Architect Of Merdeka: Tengku Abdul Rahman (Nanyang Printers/1957), The Merdeka Pageant (William Fish/1958), Syair Kemerdekaan (Ainun Hasan Al-Qudus/tahun tidak dikenal pasti), Malaysia Sa-Chara Rengkas (Jabatan Penerangan Malaysia/1966), Malaya And Its History (Sir Richard Winstedt/1966), 25 Tahun Kemerdekaan (Abdul Samad Idris/1982), Maruah Merdeka: Puisi-Puisi Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kemerdekaan 1987 (Biro Penerbitan Gapena/1987), Analisa Sejarah Jenayah Politik Kemerdekaan Megat Terawis (Ramli Isin/Sahlan Mohd. Saman/1987), dan Hari Kemerdekaan (Salleh Haji Ahmad/1989).
Sementara buku-buku dalam “Koleksi Nadir” pula ialah A Short History Of Malaya (G.P. Dartford/1958), Malaysia Sa-Chara Rengkas (Jabatan Penerangan Persekutuan/1966), Kenegaraan Malaysia: The Story Of Malaysia (Harry Miller/1966), The Story Of Malaysia (Harry Miller/1966), serta Sejarah Awal Kemerdekaan dan Pembentukan Malaysia (Nazaruddin Mohd. Jali/1992).
Pameran Kemerdekaan Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan boleh dikunjungi setiap hari dari jam 10 pagi hingga 5 petang tanpa bayaran masuk. Walaupun agak ringkas, tetapi para pengunjung tetap boleh menghayati erti kemerdekaan dan menginsafi segala pengorbanan para pejuangnya.