Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Radio Zayan dan Astro Radio Sdn. Bhd. telah menjayakan program Gema Merdeka Zayan X DBP bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.
Gema Merdeka Zayan X DBP merupakan persembahan berunsurkan patriotik yang melibatkan persembahan deklamasi puisi oleh Sasterawan Negara (SN), iaitu SN Datuk Seri (Dr.) A. Samad Said atau Pak Samad dan SN Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan.
SN A. Samad Said tampil mendeklamasikan puisi berjudul “Hidup Bersama”, manakala SN Anwar Ridhwan mendeklamasikan dua buah puisi, iaitu “Bagaimana Kukenal Bahasaku” dan “Terkenang Kiev”.
Program ini turut dimeriahkan dengan persembahan sketsa serta nyanyian oleh artis-artis terkenal tanah air seperti Mawi, DJ Hazwan Syah, DJ Hadhari, Fynn Jamal, Wani Ardy, Daqmie, Kmy Kmo dan Luca Sickta.
Persembahan nyanyian istimewa oleh gandingan Mawi dan Vijay Thirackumar yang membawakan lagu Hambamu berjaya menarik perhatian penonton yang hadir pada malam tersebut. Hal ini demikian kerana Thirackumar seorang berbangsa India yang meminati lagu bergenre nasyid.
Sementara itu, menerusi ucapan alu-aluannya, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Tuan Haji Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed menyatakan bahawa usaha penganjuran program seperti Gema Merdeka Zayan X DBP ini adalah selaras dengan seruan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim agar DBP menjadi gedung ilmu dan budaya kepada semua lapisan masyarakat.
Beliau turut berkata, “Kami mengalu-alukan semua pihak bekerjasama dengan DBP untuk merealisasikan harapan dan amanah yang besar ini.”
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengurus Kandungan Radio Zayan, Wan Syahrul Amry Wan Mansor.
Foto: Khai DBP