Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArau – Tahun Melawat Perlis 2024–2025 merupakan program pelancongan khas yang diadakan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Perlis dengan slogan yang dipilih, iaitu “Perlis Damai dan Menawan” dan juga “Perlis – The Undeniable Charm”.
Perkembangan sektor pelancongan negeri ini dijangka memberikan kesan limpahan ekonomi kepada banyak pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui inisiatif ini.
Program ini mempunyai objektif, iaitu untuk menaikkan lagi imej Perlis agar lebih dikenali dengan kawasan pelancongan yang menarik; meningkatkan bilangan kehadiran pelancong ke negeri ini sama ada pelancong domestik atau antarabangsa dan memperkukuh jenama produk pelancongan.
Demikian titah Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Majlis Apresiasi Penaja Sisipan Khas di Dalam Akhbar Tempatan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-80 Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang diadakan di Dataran Tuanku Canselor, UiTM Perlis, Arau, pada hari ini.
Turut berangkat mengiringi baginda ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Kampus Arau, Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi.
Majlis pada kali ini dianjurkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan UiTM Cawangan Perlis yang bertujuan untuk menghargai penaja utama yang terlibat dalam penajaan sisipan akhbar pada sambutan kali ini.
“Semoga dengan tajaan sisipan khas akhbar ini dapat meningkatkan lagi tekad serta kesungguhan baginda untuk terus memerintah dan membawa kemakmuran kepada negeri ini,” tambah baginda.
Tema dan kod berpakaian ala “Reggae” yang diperagakan oleh semua para tetamu yang hadir menjadikan program ini lebih unik dan ceria berbanding dengan tahun sebelumnya.
Antara senarai penaja pada tahun ini termasuklah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Teknologi Tenaga Perlis Consortium (TTPC), FGV Chuping Agro Valley – FGV Integrated Farming Holdings Sdn. Bhd., Showa – Shorubber (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Mutiara Perlis Sdn. Bhd.
Turut menaja ialah The Zon Duty Free – Emas Kerajang Sdn. Bhd., C-Mart 3 Sdn. Bhd., Sinar Jernih Sdn. Bhd., Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA), Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), KPJ Perlis Specialist Hospital, Mercu Media dan Sadariffa Sdn. Bhd.