Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPattani, Thailand – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang diiringi Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat ke wilayah Pattani selama dua hari sempena lawatan kerja sebelum bertolak ke Songkhla baru-baru ini.
Pada hari pertama, baginda menyaksikan persembahan pementasan berjudul The Khon Performance: The Episode of Building a Causeway to Lanka yang berlangsung di President Hall, Prince of Songkla University, Kampus Pattani. Pada malam yang sama baginda berdua juga menghadiri majlis makan malam bersama Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand, Rear Admiral Somkeart Ponprayoon di Jabantikor Room, CS Pattani Hotel, Pattani.
Pada hari kedua, baginda berdua berkenan untuk berangkat ke Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-20 Halal Science Center, Chulalongkorn University (Pejabat Pattani). Timbalan Pengarah Universiti itu, Penolong Prof. Nifarid Radenahmad mempersembahkan taklimat ringkas mengenai aktiviti-aktiviti yang dijalankan sempena majlis sambutan ulang tahun itu. Pusat Sains Halal Universiti berkenaan cukup dikenali dengan makmal sains forensik halal, penyelidikan dan inovasi dan perkhidmatan kepada sektor luar.
Lawatan seterusnya ke Nikachi Art Gallery di Tambon Sabarang, Pattani yang dimiliki oleh Niphon Nigachi. Hasil seni galeri ini banyak dipengaruhi oleh elemen Thailand khususnya pemimpin-pemimpin besar negara itu dan kerabat DiRajanya. Tuanku Syed Faizuddin Putra telah dipersembahkan tiga buah lukisan cendera kenangan oleh pemilik galeri sebagai tanda menjunjung kasih atas kesudian kehadiran baginda berdua.
Baan Khun Phitak Raya, Anoru, Pattani merupakan lokasi terakhir sebelum berangkat ke Songkhla. Muzium ini dimiliki oleh keluarga Senator Pattani, Datuk Anusart Suwanmongkol yang merupakan penerima penarafan Anugerah Pemulihan Warisan Budaya Asia-Pasifik UNESCO pada tahun 2021. Struktur dan susunan muzium menggabungkan gaya seni bina Thai-China dan menjadi sebahagian daripada sejarah penerimaan Pattani terhadap pendatang China di Thailand.
Tuanku Pemangku Raja Perlis menzahirkan rasa sukacita sepanjang keberadaan Baginda berdua di bumi Pattani. Kekayaan adat, budaya, makanan dan agama Islam itu sendiri menjadikan Pattani unik. Semoga lebih banyak lagi kerjasama antara Perlis dan wilayah ini dapat diwujudkan pada masa akan datang.