Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangIpoh – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) menganjurkan Festival Kraf Perak 2023 bermula pada 25 Ogos hingga 3 September 2023 bertempat di Dataran Menara Condong Teluk Intan, Perak dari pukul 10.00 pagi sehingga 10.00 malam.
YBrs. Encik Mohd Yusri Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC telah meluangkan masa hadir ke sesi jelajah mesra bersama usahawan kraf. Turut sama mengiringi, YBrs. Puan `Ainu Sham Haji Ramli, Ketua Pengarah, Kraftangan Malaysia dan Encik Mohamad Rizan Mohamad Nordin, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Perak.
Festival Kraf Perak 2023 merupakan penganjuran kali ke-7 sejak mula dilaksanakan pada tahun 2014. Acara ini bertujuan untuk mempromosi dan mengkomersialkan produk kraf tempatan kepada penduduk setempat dan pelancong serta meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap kraf Malaysia.
Bertemakan “Ini Kraf Malaysia”, Festival Kraf Perak 2023 menampilkan kepelbagaian produk kraf Malaysia yang terdapat di semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan usaha membudayakan seni kraf dalam kehidupan masyarakat.
Dalam sesi jelajah mesra tersebut, YBrs. Encik Mohd Yusri Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC menyampaikan sijil penghargaan Program Pengembangan Ilmu Cakna Kraf kepada Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Kangsar. Turut disampaikan sijil penghargaan dan Kit Cakna Kraf bagi aktiviti mewarna batik, anyaman bakul rotan dan membentuk pasu hiasan seramik kepada tujuh buah sekolah iaitu SK Setia Jaya, SK Raja Perempuan Muzwin, SK Sultan Idris II, SMK Raja Muda Musa, SMK Sultan Tajul Ariffin, SMK Simpang Beluru dan SMK Raja Perempuan Kalsom yang melibatkan sebanyak 1,050 penyertaan. Seramai 20 orang peserta dari Kolej Komuniti Manjung turut menerima sijil penyertaan bagi aktiviti Ekspresi Kraf Asas Tekatan Benang Emas.
Penganjuran Festival Kraf Perak 2023 selama 10 hari ini melibatkan 51 orang usahawan kraf dengan sasaran nilai jualan RM1 juta dan 75,000 orang pengunjung. Turut diadakan pameran korporat daripada jabatan/agensi serta operator pelancongan Perak.
MOTAC dan Kraftangan Malaysia akan terus memperkasakan usahawan kraf di negeri Perak dan menyeru agar usahawan kraf terus menghasilkan produk-produk kraf berkualiti untuk ditawarkan kepada pelancong dalam dan luar negara untuk persediaan Tahun Melawat Perak 2024.