Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Perlis – Forum berjudul Discover Perlis Eco Treasures & Heritage anjuran PATA Malaysia Chapter (PMC) diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Majlis Santapan Malam yang diadakan semalam.
Majlis Santapan Malam ini bertujuan untuk mewujudkan kerjasama untuk program-program berkaitan pelancongan di negeri Perlis dalam masa terdekat dan akan datang bersempena dengan Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Restoran Makanan Laut Hai Tien, Kuala Perlis itu disambut oleh Pengerusi, Jawatankuasa Penganjuran yang juga Pengurus Besar – Pemasaran dan Pembangunan Penerbangan, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Hj. Mohamed Sallauddin Hj. Mat Sah.
Turut hadir, Menteri Besar, YAB Tuan Mohd Shukri Ramli dan Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar.
Majlis makan malam ini dianjurkan bersempena dengan PATA Malaysia Chapter Inter-State Tourism Networking Forum yang berlangsung di Kangar, Perlis dari 25 Ogos hingga 28 Ogos 2023.
PATA Malaysia Chapter (PMC) ditubuhkan pada tahun 1975, merupakan lanjutan daripada organisasi antarabangsa Pacific Asia Travel Association (PATA) untuk membantu dalam menterjemahkan objektif global PATA kepada tindakan tempatan di Malaysia.
Tourism Malaysia mengambil alih pucuk pimpinan PMC sejak 2012, memandangkan sumbangan PATA dalam transformasi Tourism Malaysia dan pembangunan industri pelancongan di Malaysia melalui acara-acara penting PATA seperti Persidangan PATA, Travel Mart dan Mesyuarat Tahunan yang dianjurkan di Malaysia.
Perlis telah dipilih sebagai tuan rumah Forum Jaringan Pelancongan Antara Negeri PMC bagi kali ini dengan kerjasama daripada Kerajaan Negeri Perlis, Tourism Malaysia, Keretapi Tanah Melayu (KTM), LADA dan Hotel Seri Malaysia. Program ini turut dikolaborasikan dengan Program Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Siri ke-23. Seramai enam puluh orang ahli delegasi dan rakan industri dari luar Perlis turut mengambil bahagian secara fizikal.
Acara ini juga bertujuan menyediakan platform untuk pengusaha-pengusaha industri perdagangan pelancongan daripada keahlian PMC dan pihak berkepentingan lain yang berkaitan untuk bertemu dan menjalin jaringan dengan rakan kongsi pelancongan tempatan dari Perlis dengan objektif utama untuk meneroka dan meningkatkan lagi peluang perniagaan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap agar semua agensi dan organisasi swasta di negeri ini akan terus bekerja keras bagi sama-sama menjayakan Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan tarian khas berupa lagu Inang Tua, Canggung dan Hadrah oleh Kumpulan Indrasutra dari Pusat Kebudayaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).