29 Ogos 2023, 17:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Peserta yang menghadiri Forum Jaringan Industri Pelancongan Antara Negeri anjuran Pacific Asia Travel Association (PATA) Malaysia Chapter yang berlangsung di Kangar bermula 25 Ogos hingga 28 Ogos 2023 baru-baru ini amat teruja dengan produk pelancongan baharu di Perlis yang ditawarkan di Projek Diraja Transformasi Kampung Warna-warni Perkampungan Warisan Nelayan Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Pengerusi, Jawatankuasa Penganjuran yang juga Pengurus Besar – Pemasaran dan Pembangunan Penerbangan, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Hj. Mohamed Sallauddin Hj. Mat Sah berkata suasana dan imej kampung ini yang terserlah indah, teratur dan mengujakan telah terbukti menjadi salah satu tarikan pelancongan di Kuala Perlis. Inisiatif ini merupakan contoh yang terbaik kepimpinan dan iltizam Tuanku Pemangku Raja Perlis bersama kerajaan negeri khususnya melalui MAIPs dibantu pelbagai agensi lain pada ketika negara dilanda Covid-19 untuk melestarikan kehidupan seharian penduduk kampung tersebut serta meyediakan peluang ekonomi bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Sementara itu, Adjunct Profesor Anthony Wong merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Bagi, Asian Overland Services Tours & Travel, AOS Conventions & Events, Frangipani Hotels & Resorts, Frangipani Natural Farms, Eco Green Design & Construction and Construction Wetland berkata pelaksanaan transformasi kampung ini ialah produk terbaik yang berasaskan komuniti, dan telah menjadi lebih bersih, menarik dan semestinya pelancong berkeinginan untuk datang lagi. Beliau akan mengusahakan inisiatif merancang untuk mengadakan program secara mingguan selepas ini untuk cuba menarik pelancong antarabangsa terutama dalam mewujudkan pakej pelancongan dari Langkawi untuk turut melawat Kg. Seberang Ramai dalam pakej pelancongan mereka selepas ini.

Presiden Persatuan Pemandu Pelancong Profesional Phuket, Thailand, Adisorn Sumalee @ LucaMalee yang amat mengenali produk pelancongan yang ditawarkan di Malaysia juga memuji produk baharu ini dan memaklumkan kepada Tuanku Pemangku Raja bahawa beliau akan membantu mempromosikannya kepada rakan pemain industri di Thailand.

Demikian dikongsikan mereka selepas menyertai program Treasure Hunt yang dianjurkan sebagai salah satu program sampingan bersempena forum itu dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis serta anggota masyarakat setempat.

60 orang peserta yang mengambil bahagian juga turut berasa bangga atas kesudian Duli Yang Maha Mulia (DYMM)Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat meluangkan masa beramah mesra dengan mereka dalam program tersebut yang melibatkan mereka berjalan kaki dan singgah di enam buah lokasi seperti yang ditetapkan iaitu Laman Laksa, Jambatan Tuanku Syed Putra, Anjung Persinggahan Raja, Laman Bunga Raya, Laman Rumah Sihat dan Dewan Kampung Semarak.

Mereka juga berpeluang menyelami kehidupan dan budaya di kampung nelayan tersebut dengan melakukan aktiviti-aktiviti menarik seperti mendekorasi laksa, mengarang pantun, merasai makanan seperti garam belacan serta aiskrim Malaysia, senam Tari Canggung dan juga mengagihkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada 10 orang asnaf dalam kalangan penduduk di situ.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan rasa sukacita atas pemilihan penganjur untuk menjadikan Perlis sebagai tuan rumah untuk forum tersebut kali ini yang secara tidak langsung akan mempromosi dan memperkenalkan Perlis sebagai destinasi pelancongan yang berdaya saing dan unik.

Kehadiran pelbagai individu dan organisasi yang merupakan pemain-pemain utama industri pelancongan di Malaysia ke Perlis melalui program ini menggambarkan tanda yang positif untuk industri pelancongan negeri ini.

Untuk rekod, PATA Malaysia Chapter (PMC) yang ditubuhkan pada 1975, merupakan lanjutan daripada organisasi antarabangsa Pacific Asia Travel Association (PATA) untuk membantu dalam menterjemahkan objektif global PATA kepada tindakan tempatan di Malaysia; dengan menjalankan program dan aktiviti yang berkaitan dengan komuniti setempat dan menyediakan kemudahan PATA kepada semua ahli PMC.

PMC mempunyai wawasan untuk menjadi peneraju suara Malaysia dalam industri kembara dan pelancongan di Asia Pasifik dan misinya adalah untuk mencipta nilai bagi pihak berkepentingan pelancongan melalui kerjasama sektor swasta dan awam dan untuk menggalakkan pertumbuhan mampan kembara dan pelancongan untuk Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.