30 Ogos 2023, 11:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Buloh – Para peminat seni suara tanah air pasti mengetahui, serta masih mengingati siapa penyanyi lagu-lagu popular seperti Kasihnya Laila, Farhana, Cinta Pantai Merdeka, dan Patri.

Selepas lama menyepi, penyanyi lagu-lagu tersebut, iaitu kumpulan Jinbara kembali menyambung perjuangan mereka dalam dunia muzik rock tempatan dengan pelancaran lagu tunggal terbaharu berjudul Kurniaku Terindah.

Berada di bawah naungan Luncai Emas Sdn. Bhd. (Luncai Emas), penerbitan Kurniaku Terindah merupakan satu projek rakaman khas Jinbara bersama-sama syarikat milik Dato’ M. Nasir itu, untuk terus mengukir nama dalam industri muzik rock tanah air.

Justeru, menurut Dato’ M. Nasir yang juga pencipta melodi lagu tunggal berkenaan, perjuangan dan perjalanan rock Jinbara masih belum berakhir. Kurniaku Terindah yang liriknya ditulis oleh Keon membuktikan bahawa perjalanan muzik Jinbara masih jauh dari garis penamat.

Kurniaku Terindah adalah pencapaian baharu buat kami. Ini suatu penghormatan besar, dan kami bersyukur kerana diberikan kepercayaan membawakan lagu ciptaan Dato’ M. Nasir. Ini menandakan kami masih bernafas, dengan kesihatan yang baik. Inilah kurnia terindah daripada Yang Maha Esa,” kata Jinbara.

Proses rakaman lagu tunggal ini berjalan lancar sebelum menerima berita duka pemergian pemain bass kumpulan Spider, iaitu Tony Iskandar pada 30 Jun 2021. Allahyarham Tony merupakan pencetus utama penerbitan Kurniaku Terindah.

“Selepas pemergiannya, tugas sebagai penerbit lagu diambil alih oleh Hanafi Spider. Sewaktu rakaman awal, Allahyarham Tony mahu menyiapkan projek lagu tunggal baharu ini. Beliau pernah mengatakan “Kita Bikin Kasi Jadi’’. Tetapi, Allah SWT lebih menyayanginya. Allahyarham ialah sahabat dunia akhirat,” jelas Jinbara lagi.

Video lirik Kurniaku Terindah telah dilancarkan pada 18 Ogos lalu melalui saluran YouTube Luncai Emas. Para peminat juga boleh menikmati audio rasmi di semua platform digital yang tersedia seperti Spotify, Apple Music, Deezer dan muat turun di Itunes Store.

Sebagai label rakaman, Luncai Emas berharap Kurniaku Terindah akan menarik perhatian peminat muzik, dan media. Mereka mengundang semua peminat menikmatinya dengan sepenuh jiwa.

Dalam usaha untuk terus berinteraksi dengan peminat setia, Jinbara yang dianggotai Cepot (gitar), Ahtan (dram), Along (vokalis), dan Lan (gitar) akan mengadakan Showcase Rock Untuk Rakyat pada 30 Ogos 2023 bermula jam 9 malam di Grand Sabak @ Leypark Station.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.