Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSongkhla, Thailand – Sempena Kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025, negeri Perlis mengalu-alukan penganjuran program berteraskan sukan pelancongan sama ada larian, berbasikal, sukan air, mendaki, sukan lasak atau apa-apa jenis sukan yang mempunyai dana dalaman serta tajaan sendiri yang cukup bagi sama-sama membantu merancakkan aktiviti sektor pelancongan di negeri ini dalam tempoh tersebut.
Kelab dan persatuan tempatan di Perlis juga didapati sudah berpengalaman serta bersedia bagi menerima kunjungan pelancong dan juga sebagai penganjur acara melalui kemahiran dan jaringan sedia ada di negeri ini.
Demikian dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran Promosi Makanan Perlis yang diadakan di Restoran The ISDU Premium, Tambon Bo Yang, Daerah Mueang, Songkhla, Thailand baru-baru ini anjuran restoran itu dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.
Berangkat sama ialah, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Kurma Daging Perlis akan ditawarkan dalam menu harian restoran tersebut selama seminggu dan jika mendapat maklum balas yang baik daripada para pelanggan berkemungkinan menu itu akan dipertimbangkan untuk dijadikan sebagai menu tetap.
Keberangkatan tiba baginda berdua ke restoran Muslim yang cukup terkenal dengan masakan ala Cina yang halal dan telah beroperasi selama setahun lapan bulan, dibuka setiap hari bermula pada pukul 11.00 pagi hingga 9.00 malam kecuali pada hari Khamis dan dikendalikan oleh 15 orang pekerja itu disambut oleh pemilik restoran tersebut, Haji Shokri Haji Saleh dan penyelaras program, iaitu Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.
Turut hadir ialah Presiden Thaksin University (TSU) Dr. Nathapong Chitniratna dan Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Ts. Dr. Haji Zaliman Sauli.
Tuanku berdua meluangkan masa berangkat ke restoran berkenaan sempena perasmian Seminar Antarabangsa Integrasi Alam dan Tamadun (SUTERA) 2023 & SEMALU III yang bertemakan “Budaya Penyelidikan Watan: Melestari Identiti Keunikan ASEAN” di TSU yang dianjurkan oleh Universiti itu bersama-sama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Untuk rekod, pada masa yang sama, Promosi Masakan Perlis berupa Kurma Daging Perlis akan disajikan di Restoran Belacan Grill Malaysian Bistro yang beroperasi tidak jauh dari Disneyland Anaheim, Los Angeles, Amerika Syarikat yang disempurnakan pelancarannya oleh Pemangku Raja Perlis dan Tuanku Raja Puan Muda baru-baru ini bermula pada 31 Ogos hingga 16 September 2023 sebagai inisiatif kecil untuk sama-sama mempergiat momentum promosi Tahun Melawat Perlis 2024-2025.