Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Lebih 100 000 pengunjung daripada pelbagai latar belakang bangsa, agama dan budaya membanjiri Dataran Putrajaya dengan semangat patriotik untuk sama-sama menyertai sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 yang bertemakan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” pada pagi tadi.
Sesuatu yang menarik apabila tetamu kehormat, barisan jemaah menteri, serta urus setia yang hadir memperagakan batik Malaysia khas berwarna biru lembut sekali gus menambahkan lagi kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan pada kali ini.
Pada permulaan acara, bacaan ikrar Rukun Negara telah dipimpin oleh pemenang pingat emas Kejohanan Asian Bowls 2023 yang juga pelajar Akademi Kecergasan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Muhammad Haikal Roslan.
Pengunjung kemudiannya dipersembahkan dengan persembahan khas lagu tema Hari Kebangsaan bertajuk Tekad Perpaduan Penuhi Harapan yang didendangkan secara bersama oleh barisan artis tanah air berserta persembahan formasi oleh peserta dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Kanak-kanak antara individu yang paling teruja menyaksikan acara sambutan Hari Kebangsaan pada kali. Sempena sambutan tersebut, ibu bapa mengambil peluang meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak untuk menyaksikan empat segmen persembahan khas, iaitu segmen Perpaduan dan Kesejahteraan dengan persembahan nyanyian artis bersama-sama pelibatan 1000 orang artis tari, 400 jurrgendang dan 600 orang pelajar.
Segmen Daya Upaya dan Kecekapan pula mempamerkan aksi bermotosikal Army Red Warrior, Tentera Darat Malaysia. Manakala, segmen Cabaran dan Ketangkasan melibatkan persembahan terjunan tepat oleh VAT 69 dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan segmen Gegar MADANI dengan gerak tari.
Pengunjung yang hadir juga dapat menyaksikan keunikan dalam perbarisan tahun ini, iaitu perarakan Kontinjen Perpaduan Malaysia MADANI yang terdiri daripada pelbagai etnik Sabah dan Sarawak dengan pelibatan kira-kira 400 orang peserta.
Acara kemuncak yang ditunggu-tunggu oleh semua yang hadir ialah pertunjukan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang melibatkan enam buah pesawat pejuang Sukhoi SU 30 MKM yang mampu terbang dengan kelajuan 500 kilometer sejam, selain tiga pesawat F-18D Hornet dan empat BAE Hawk.
Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini sudah pasti memberikan gambaran yang baik tentang keharmonian dan kestabilan Malaysia terutamanya kepada masyarakat luar. Kita sebagai rakyat Malaysia harus sentiasa mensyukuri nikmat keamanan yang dikecapi dengan mengekalkan sikap hormat-menghormati dan toleransi dalam masyarakat majmuk demi masa depan anak-anak yang akan mewarisi bahtera merdeka ini.
Foto: Jabatan Penerangan Malaysia