Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKangar – “Perlis Damai dan Menawan” dipilih oleh kerajaan negeri sebagai tema dalam bahasa Melayu bagi mempromosikan kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Pengumuman tersebut diisytiharkan dengan rasminya oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada majlis perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat Negeri Perlis yang dilangsungkan di perkarangan Kompleks Dewan Undangan Negeri, Kangar pada rabu malam.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Tuanku Syed Faizuddin Putra mengajak semua pihak supaya bersama-sama dengan kerajaan negeri demi menjayakan kempen tersebut.
Baginda percaya bahawa rakyat di negeri ini kaya dengan sifat hospitaliti, berhemah dan amat prihatin terhadap isu kebersihan alam sekitar, sekali gus mencerminkan tema “Perlis Damai dan Menawan” yang dipilih tersebut.
Baginda turut menyarankan supaya digunakan peluang ini untuk sama-sama menaikkan lagi imej Negeri Perlis sebagai sebuah destinasi pelancongan utama baharu di Malaysia.
Dalam majlis yang sama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Negeri Perlis muncul johan kawad bagi kategori pasukan swasta, NGO dan pertubuhan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pula dinobatkan sebagai johan kawad bagi kategori pasukan institusi pengajian tinggi dan sekolah. Sementara itu, Pejabat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis diumumkan sebagai johan kawad bagi kategori pasukan jabatan kerajaan dan badan berkanun pada kali ini.