Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPetaling Jaya – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sering menampilkan para penyanyi terkenal tanah air bagi menghiburkan warga penduduknya dalam Konsert Ceritera Rakyat setiap Festival Kesenian Rakyat Antarabangsa yang dianjurkan sejak tahun 2013.
Antara yang pernah beraksi dalam konsert percuma itu ialah Datuk Ramli Sarip, Dato’ M. Nasir, Zamani Slam, kumpulan XPDC, dan pada tahun 2022, kumpulan rock terkenal, Wings.
Pada tahun 2015, Kerajaan Negeri Selangor mengisytiharkan Petaling Jaya sebagai Kota Seni, dalam usaha mempromosi bandar raya tersebut khasnya, dan negeri Selangor, serta Malaysia amnya sebagai destinasi pelancongan antarabangsa berteraskan keharmonian, dan kelestarian seni dan budaya sejagat khusus, melalui penganjuran festival sedemikian.
Selaras dengan aspirasi Pelan Strategik Petaling Jaya Pintar, Mampan dan Berdaya Tahan 2030, Dasar Pelancongan Negara 2020-2030, dan DAKEN (Dasar Kebudayaan Negara) 2021 dalam usaha memacu industri pelancongan negara yang berteraskan kelestarian pembangunan budaya, seni dan warisan, maka penganjuran Festival Kesenian Rakyat Antarabangsa oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada tahun ini lebih berprestij dan berimpak tinggi.
Dengan kerjasama Majlis Antarabangsa Festival Kesenian Rakyat (CIOFF) Malaysia (rakan rasmi UNESCO), MBPJ telah diberikan kepercayaan mewakili Malaysia menjadi tuan rumah bagi penganjuran Festival Kesenian Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama 2023 (1stAPYF2023) pada 21 hingga 26 September 2023 di pusat bandar Seksyen 52, Petaling Jaya.
Festival ini telah diklasifikasikan sebagai projek budaya kerajaan ke kerajaan. Pada tahun 2018, festival ini diiktiraf sebagai program pertukaran budaya antarabangsa oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.
Dengan tema “Menghayati Budaya & Warisan” (Embracing Culture & Heritage), matlamat utama penganjuran 1stAPYF2023 ialah memupuk serta menzahirkan rasa cinta, dan saling memahami bermula sejak usia muda terhadap kepentingan melestarikan kepelbagaian, serta keunikan budaya, seni dan warisan dalam memupuk keharmonian, serta perpaduan masyarakat global.
MBPJ menyasarkan penyertaan 26 kumpulan kebudayaan dari negara-negara di rantau Asia Pasifik di bawah pengurusan CIOFF Malaysia.
Semasa sidang media prapelancaran 1stAPYF2023 di Hotel Sheraton PJ pada 25 Ogos lalu, Datuk Bandar Petaling Jaya, Tuan Mohamad Azhan Md. Amir, memberitahu sebanyak 19 kumpulan kebudayaan antarabangsa dari 13 buah negara telah mengesahkan penyertaan mereka.
“Negara itu ialah China, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Iran, Filipina, Uzbekistan, Sri Lanka, Singapura, Brunei dan Qatar,” jelas beliau.
Tambah Mohamad Azhan, terdapat lapan jenis program sepanjang berlangsungnya 1stAPYF2023, iaitu persembahan kebudayaan antarabangsa, pocket show di sekolah-sekolah terpilih sekitar Petaling Jaya, pameran, jualan dan demonstrasi pembuatan produk seni, kraf tangan dan makanan tradisional; Persidangan Seni Antarabangsa PJ 2023, seminar kerjaya seni, Diskusi Meja Bulat: Pengurus Bandar Raya dan Datuk Bandar, Pertandingan PJ Best Tari, majlis perasmian, pertunjukan bunga api, dan Konsert Ceritera Rakyat oleh artis terkemuka tanah air.
“Barisan artis yang ditampilkan dalam Konsert Ceritera Rakyat memang terkenal, iaitu Dato’ Awie, Ziana Zain, Ella, dan Dato’ Hattan, yang ada nama dan profil yang sangat besar sejak 1990-an,” jelas Mohd. Azhan.
Keempat-empat mereka akan menjayakan konsert tersebut pada 24 September 2023, jam 8.30 malam di Laman MBPJ, Jalan Yong Shook Lin.
“MBPJ berharap semua peminat muzik, sama ada di Petaling Jaya atau kawasan berdekatan tidak melepaskan peluang menyaksikan konsert hebat ini nanti,” kata Azhan lagi yang menegaskan bahawa Petaling Jaya mampu mewakili negara kerana usaha ini merupakan cerminan Malaysia.
Penyertaan masih dibuka hingga tarikh tutup pada 7 September 2023. Sehubungan itu, orang ramai amat digalakkan untuk terus berinteraksi bersama-sama MBPJ di media sosial rasminya, iaitu Facebook MBPJ, Instagram dan Twitter; pjcitycouncil, serta laman sesawang MBPJ.
Turut hadir pada sidang media 1stAPYF2023 ialah Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Tuan Aznan Hj. Hassan; Timbalan Setiausaha (Pembangunan) MBPJ, Tuan Ir. Ismail Shafie; dan Hattan.
Ziana yang tidak dapat hadir bersama-sama Awie dan Ella, menyampaikan ucapan selamat berfestival, dan memohon kemaafan menerusi tayangan video.
Hadirin turut dihiburkan dengan lagu tema 1stAPYF2023, iaitu We Are All Petaling Jaya, dan dendangan beberapa lagu terkenal antarabangsa oleh artis/Kombo MBPJ. Hattan pula membuat kemunculan istimewa memenuhi permintaan ramai menyanyikan lagu popular kumpulan Kembara, iaitu Gerhana.