Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSadao, Thailand – Program Kayuhan Berbasikal Semarak Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-66 dan promosi kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dilaksanakan di mukim Khlong Hae, Daerah Sadao, Wilayah Songkhla, Thailand bagi menyatuni masyarakat di mukim tersebut.
Keberangkatan tiba Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mengetuai delegasi dari Perlis sebanyak 66 orang peserta terdiri daripada ketua-ketua agensi negeri, persekutuan serta swasta di Perlis sempena hari cuti umum semalam telah disambut dengan meriah oleh Datuk Bandar Khlong Hae, Suwat Lertjittham di perkarangan pejabat beliau. Tarian dan iringan muzik tradisional dipersembahkan kepada baginda sebagai tanda penghormatan dan selamat datang.
Mengiringi baginda ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof; Penasihat Undang-Undang Negeri; Mohd Radhi Abas dan Pegawai Kewangan Negeri, Haji Zepri Saad.
Para peserta melakukan aktiviti kayuhan itu dengan penuh bersemangat dengan memakai baju yang tersemat bendera Malaysia dan mengibarkan Jalur Gemilang di basikal masing-masing. Kayuhan sejauh 20 kilometer di sekitar mukim itu bermula dan berakhir di perkarangan Pejabat Datuk Bandar Khlong Ngae.
DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyampaikan sumbangan berupa wang ringgit sebanyak RM2000 setiap satu dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada tiga buah masjid yang disinggahi dan disantuni sepanjang program tersebut, iaitu Masjid Al-Jadid yang diketuai oleh Imam Muhammad Md Adam, Masjid Aishah Radiallahuanha, oleh Imam Abdullah dan Masjid Nurul Huda, oleh Imam Yaakob Saleh.
Sumbangan dari MAIPs itu bertujuan untuk membantu jawatankuasa masjid terbabit untuk menjalankan kerja-kerja kebajikan, menyelenggara masjid dan membantu golongan yang memerlukan.
Turut serta ialah Mufti Perlis, Sahibus Samahah Prof. Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Baginda turut tidak melepaskan peluang untuk melawat tempat-tempat menarik di sekitar Khlong Hae antaranya termasuklah stesen kereta api, ladang kelulut Pheung Thong Farm, beberapa buah wat dan lain-lain.
Menerusi program tersebut, baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga masjid dan penduduk kampung atas kesudian mereka menyambut kunjungan baginda dan peserta kayuhan pada edisi kali ini dengan suasana yang sangat meriah. Setiap masjid juga menjamu buah-buahan tempatan seperti cempedak, manggis, dokong dan juga rambutan kepada delegasi yang hadir.
Pada penutup majlis kayuhan itu, Datuk Bandar yang turut mewakili penduduk di mukim tersebut menyatakan rasa gembira dan berbesar hati atas kesudian Tuanku Pemangku Raja Perlis dan peserta kayuhan yang hadir di kawasan mereka.
“Aktiviti berbasikal, sumbangan dana untuk masjid dan lawatan di sekitar Khlong Hae akan mengeratkan lagi hubungan antara Malaysia dengan Daerah Sadao ini”, tambah beliau lagi.
Menerusi program seperti itu, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap agar hubungan baik antara Malaysia khususnya Perlis dengan Wilayah Selatan Thailand akan terus berkekalan. Baginda turut menjemput warga Selatan Thailand khususnya di Khlong Hae untuk datang ke Perlis bagi menjayakan dan memeriahkan lagi Tahun Melawat Perlis 2024-2025 pada tahun hadapan. Video korporat untuk mempromosikan lokasi pelancongan menarik di Perlis turut ditayangkan untuk tontonan semua masyarakat yang hadir dalam sesi tersebut.